SELANGOR membuat keputusan akan mengimport sepenuhnya bekalan daging babi bagi memenuhi keperluan tempatan, kata Menteri Besar Selangor Datuk Seri Amirudin Shari.
Dalam kenyataan beliau berkata, langkah itu dibuat berikutan susulan keputusan Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri (MMKN) untuk tidak lagi meneruskan aktiviti penternakan di negeri ini.
‘’Keputusan itu bagi menjunjung kasih titah terbaharu Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah (Selasa lalu) yang tidak memperkenankan aktiviti itu dijalankan di mana-mana daerah di negeri ini,’’ katanya.
Beliau berkata, sebelum ini kira-kira 70 peratus keperluan masyarakat bukan Islam di Selangor diperoleh melalui import dari negeri lain.
“Namun selepas ketetapan terbaharu itu, keseluruhan bekalan akan dibawa masuk dari luar,” katanya.
Amirudin memberitahu sebarang pengeluaran dan kelulusan lesen import akan dirujuk kepada kerajaan Persekutuan selaras dengan bidang kuasa pemberian lesen.
Sejak Januari lalu, katanya, kerajaan negeri sudah memberhentikan pengeluaran lesen penternakan babi dan memberi tumpuan kepada pengosongan tapak ladang sedia ada di Tanjung Sepat, Kuala Langat.
“Bagi ladang yang beroperasi sebelum ini, kawasan berkenaan akan ditutup secara berperingkat dengan kadar lebih pantas melalui kerjasama Jabatan Veterinar Negeri Selangor,” katanya.
Beliau turut menegaskan sebarang polemik berkaitan isu berkenaan dihentikan demi menjaga keharmonian masyarakat berbilang kaum dan agama di negeri ini.
Amirudin pada Selasa memaklumkan kerajaan negeri akan melaksanakan titah Sultan Selangor yang tidak berkenan aktiviti penternakan babi dijalankan di mana-mana daerah di negeri ini, selain menegaskan larangan pembinaan rumah ibadat tanpa kebenaran.


