Azam ada dana peribadi yang cukup untuk beli saham Velocity Capital – sumber

TAN Sri Azam Baki mempunyai dana peribadi yang mencukupi untuk membeli sahamnya dalam Velocity Capital Bhd, namun akhirnya tidak mendapat keuntungan daripada transaksi tersebut, menurut sumber yang menangkis dakwaan wujud konflik kepentingan.

Menurut sumber, Ketua Pesuruhjaya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) itu mempunyai pendapatan dan simpanan mencukupi, termasuk faedah persaraan untuk membiayai pembelian tersebut.

“Beliau menerima gratuiti persaraan dan golden handshake berjumlah hampir RM1.2 juta apabila pertama kali bersara pada 2023. Jadi beliau mempunyai dana yang lebih daripada cukup,” kata sumber itu sekali gus menafikan dakwaan wujud konflik kepentingan dalam isu membabitkan Azam sejak kebelakangan ini, lapor FMT.

Sumber berkata, pendapatan Azam, yang memegang pangkat perkhidmatan awam Gred Utama Turus II, adalah kira-kira RM50,000 sebulan, termasuk pencen dan gaji bulanan.

Menurut sumber itu, Azam membeli saham Velocity Capital pada awal tahun lepas dan menjualnya tidak lama kemudian. Ini selari dengan dokumen dikeluarkan oleh Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA), yang menunjukkan beliau membeli saham tersebut pada 15 Januari dan menjualnya pada Julai.

Kontroversi mengenai pegangan saham Azam timbul daripada laporan Bloomberg, yang menyatakan beliau memegang 17.7 juta saham dalam Velocity Capital, atau 1.7 peratus daripada modal berbayar syarikat itu, bernilai kira-kira RM800,000 berdasarkan penyata tahunan syarikat pada 3 Februari tahun lepas.

Laporan itu mengatakan nama Azam masih tertera dalam daftar pemegang saham syarikat di Suruhanjaya Syarikat Malaysia (SSM).

Perkara ini dikatakan melanggar pekeliling kerajaan 2024 yang menyatakan penjawat awam boleh memegang saham dalam syarikat yang diperbadankan di Malaysia, dengan syarat pegangan tidak melebihi 5 peratus daripada modal berbayar atau RM100,000 nilai pasaran.

Azam dilaporkan berkata, beliau akan menghantar surat tuntutan kepada Bloomberg berhubung laporan itu, mendakwa ia berniat jahat serta mencalarkan reputasi beliau dan SPRM.

Menurut sumber itu lagi, Azam kerugian lebih RM400,000 dalam urusan jual beli saham tersebut tahun lepas, dan urusan sahamnya telah diisytiharkan kepada Ketua Setiausaha Negara, Tan Sri Shamsul Azri Abu Bakar, melalui Sistem Maklumat Pengurusan Sumber Manusia.

Sumber juga berkata, Azam secara proaktif mengisytiharkan sahamnya, walaupun peraturan menetapkan beliau mempunyai tempoh lima tahun lagi untuk membuat pengisytiharan selepas pembelian. “Sekarang ini akaun dagangannya kosong,” katanya.

Sumber itu berkata, pengisytiharan aset dibuat secara sulit bawah peraturan semasa dan tidak bertujuan untuk didedahkan kepada umum.

“Beliau tiada kewajipan untuk mengisytiharkan aset secara terbuka. Tiada undang-undang atau peraturan. Anda masukkan angka ke dalam sistem (kerajaan). Itu sahaja,” tambahnya.

 

IKUTI SALURAN MEDIA SOSIAL RASMI KAMI

FB : Utusan Melayu Plus
IG: Utusan Melayu Plus
TikTok: @utusanmelayuplusofficial
Threads: @utusanmelayuplus
Whatapps Channel: Utusan Melayu Plus

Terkini

Related articles

Leave a reply

Please enter your comment!
Please enter your name here

spot_img