SEORANG lelaki maut selepas kereta dipandunya hilang kawalan sebelum merempuh tiang elektrik di Jalan Anggerik, Felda Kahang Barat di Kluang, tengah malam tadi.
Kemalangan kira-kira jam 12 tengah malam itu mengakibatkan kereta Proton Wira dipandu mangsa terbalik dan remuk teruk.
Ketua Polis Daerah Kluang, Asisten Komisioner Bahrin Mohd Noh berkata, mangsa merupakan lelaki tempatan berusia 26 tahun ketika itu dalam perjalanan dari arah Jalan Padang Tembak menghala ke Felda Kahang Barat.
Menurutnya, sebaik sahaja tiba di lokasi kejadian, kereta terbabit dipercayai hilang kawalan lalu terbabas ke bahu kanan jalan.
”Kenderaan tersebut kemudiannya merempuh sebatang tiang elektrik sebelum terbalik di lokasi kemalangan itu,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Katanya, mangsa mengalami kecederaan parah di bahagian kepala dan badan disahkan meninggal dunia oleh petugas perubatan yang tiba di lokasi tidak lama kemudian.
Kes ini disiasat di bawah Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987, kata Bahrin.


