Imigresen serbu banglo mewah di ibu negara jalankan aktiviti tidak bermoral

JABATAN Imigresen Malaysia (JIM) menahan seramai 40 warga asing dalam satu operasi khas yang diadakan di sebuah banglo tiga tingkat di Persiaran Ritchie, Desa Pahlawan di ibu negara, awal pagi semalam.

Operasi yang dijalankan oleh anggota dan pegawai Bahagian Perisikan dan Operasi Khas pada jam 12.27 tengah malam itu dibuat hasil maklumat awam dan risikan selama dua minggu.

Timbalan Ketua Pengarah (Operasi) JIM, Datuk Lokman Effendi Ramli berkata, dalam serbuan itu seorang lelaki warga China yang dipercayai dalang utama kegiatan tidak bermoral membabitkan warga asing ditahan bersama 39 individu lain.

GAMBAR: JIM

Mereka terdiri daripada 11 lelaki, 19 wanita warga China, lima wanita Vietnam, masing-masing dua wanita Myanmar dan Jepun, dan kesemua yang ditahan berusia antara 21 hingga 43 tahun.

“Semakan awal mendapati dalang utama dan seorang lelaki warga China memiliki pas penggajian yang masih sah laku, enam lelaki dan 19 wanita warga China, dua wanita Jepun dan lima wanita Vietnam memiliki pas lawatan sosial, manakala warganegara asing yang lain tidak memiliki sebarang dokumen perjalanan atau pas yang sah untuk berada di negara ini,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Beliau berkata, banglo itu dipercayai digunakan bagi menjalankan aktiviti tidak bermoral, dan dilengkapi pelbagai kelengkapan dengan bilik yang telah diubah suai, dan berada di kawasan kediaman mewah bagi mengelakkan aktiviti itu dikesan pihak berkuasa.

“Pekerja lelaki China yang dikenali sebagai salesman yang akan mencari pelanggan menggunakan platform dalam talian dengan menyasarkan pelanggan warganegara asing dan tempatan yang berbangsa Cina sahaja.

“Kadar bayaran yang dikenakan adalah sebanyak RM1,000 bagi 45 minit dan RM3,500 bagi 90 minit dan kegiatan itu dipercayai telah beroperasi selama enam bulan,” katanya.

Beliau berkata, seorang lelaki warga China disiasat di bawah Seksyen 56(1)(d) Akta Imigresen 1959/63 dan Peraturan 39(b) Peraturan-Peraturan Imigresen 1963 dan manakala dua lagi lelaki, dan dua wanita Myanmar disiasat di bawah Seksyen 6(3) akta sama.

Sembilan lelaki, dan 19 wanita rakyat China, dua Jepun serta lima Vietnam disiasat di bawah Peraturan 39(b) Peraturan-Peraturan Imigresen 1963.

Kesemua yang ditahan dibawa ke Pejabat Imigresen Putrajaya untuk tindakan lanjut dan seorang lelaki Singapura dan lelaki tempatan turut diberikan notis untuk hadir membantu siasatan.

 

 

IKUTI SALURAN MEDIA SOSIAL RASMI KAMI

FB : Utusan Melayu Plus
IG: Utusan Melayu Plus
TikTok: @utusanmelayuplusofficial
Whatapps Channel: UTUSAN MELAYU PLUS

Terkini

Related articles

Leave a reply

Please enter your comment!
Please enter your name here

spot_imgspot_img