ALIRAN keluar masuk kenderaan dari ibu kota dijangka meningkat ketara bermula hujung minggu ini susulan pergerakan orang ramai pulang ke kampung halaman sempena cuti Tahun Baharu Cina, selain persiapan awal menjelang Ramadan.
Pemerhatian aliran trafik menunjukkan peningkatan mula dirasai sejak beberapa hari lalu, khususnya pada waktu petang dan malam, apabila warga kota mengambil peluang keluar lebih awal bagi mengelakkan kesesakan teruk pada saat akhir.
Aliran trafik keluar dari Kuala Lumpur mula memuncak mulai petang ini hingga esok, dengan lebuh raya utama menuju ke utara, selatan dan Pantai Timur berdepan kepadatan berperingkat.
Selain itu, cuti persekolahan selama seminggu mulai esok bagi Kumpulan B selain Kelantan, Kedah dan Terengganu (Kumpulan A) sempena Tahun Baharu Cina dan awal Ramadan meningkatkan jumlah kenderaan.
Kesesakan dijangka lebih ketara pada waktu puncak, terutama selepas waktu bekerja dan pada sebelah malam, apabila perjalanan jarak jauh bertindih dengan pergerakan harian setempat.
Selain cuti perayaan, faktor persiapan awal Ramadan turut menyumbang kepada peningkatan pergerakan, termasuk aktiviti membeli-belah, urusan keluarga serta perjalanan pulang awal ke kampung halaman bagi mereka yang bekerja di bandar.
Keadaan trafik dijangka beransur lancar selepas beberapa hari, namun aliran kenderaan dijangka kekal tinggi sehingga tamat tempoh cuti, khususnya pada laluan masuk ke Kuala Lumpur apabila warga kota kembali bekerja.
Orang ramai disaran merancang perjalanan lebih awal, memilih waktu perjalanan di luar waktu puncak serta mematuhi arahan keselamatan bagi mengurangkan risiko kemalangan dan tekanan di jalan raya.
Lembaga Lebuhraya Malaysia (LLM) baru-baru ini menjangkakan aliran trafik meningkat dengan 3.27 juta kenderaan menggunakan lebuh raya utama seluruh negara sempena sambutan Tahun Baharu Cina kali ini.
Peningkatan trafik dijangka bermula seawal hari ini khususnya bagi pergerakan kenderaan menuju ke arah utara, selatan dan Pantai Timur.
Katanya, jumlah trafik yang menggunakan lebuh raya utama dan lebuh raya sambungan ke lebuh raya utama mampu mencapai 3.27 juta kenderaan pada hari puncak sempena sambutan Tahun Baharu Cina yang akan disambut pada Selasa dan Rabu depan.
Berdasarkan unjuran trafik, lebuh raya di bawah Kumpulan PLUS mencatatkan anggaran tertinggi dengan 2.2 juta kenderaan, diikuti Lebuhraya KL – Karak dengan 210,000 kenderaan.
Menurut LLM, semua syarikat konsesi lebuh raya diarahkan membuat persediaan rapi bagi memastikan perjalanan pengguna lebuh raya selamat serta lancar sepanjang tempoh perayaan.
Dalam pada itu, kerajaan turut mengumumkan diskaun tol 50 peratus , bermula jam 12.01 tengah malam, 14 Februari hingga jam 11.59 malam, 15 Februari ini.
Diskaun terpakai kepada kenderaan persendirian Kelas 1 di semua plaza tol serta Kelas 2 di Jambatan Pulau Pinang, namun tidak membabitkan plaza tol sempadan negara, iaitu Tol Bangunan Sultan Iskandar di Lebuhraya Utara-Selatan dan Plaza Tol Tanjung Kupang di Laluan Kedua Malaysia-Singapura.


