SEORANG individu mengalami kerugian RM10,313 selepas dipercayai menjadi mangsa penipuan pembelian emas lelong menerusi aplikasi Telegram di ibu negara, kelmarin.
Ketua Polis Daerah Sentul, Asisten Komisioner Ahmad Sukarno Mohd Zahari berkata, polis mengesahkan menerima laporan berhubung kejadian itu selepas aduan dibuat kepada Pusat Respons Penipuan Kebangsaan (NSRC).
“Laporan diterima Rabu lalu pada jam 1.02 petang. Kes membabitkan kerugian sebanyak RM10,313.
“Modus operandi adalah tipu dalam urusan pembelian secara atas talian,” katanya dalam kenyataan malam ini.
Menurut Ahmad Sukarno, NSRC menerima panggilan daripada mangsa yang memaklumkan dia ditipu dalam urusan pembelian emas lelong melalui Telegram dan mengalami kerugian RM10,313.
Beliau berkata, mangsa membuat lima transaksi bayaran ke akaun bank yang diberikan suspek.
“Pengadu membuat laporan sebagai maklumat pertama (FIR) dan siasatan lanjut sedang dijalankan,” katanya.
Katanya, kes ini disiasat mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan.


