AHLI Majlis Pimpinan Tertinggi (MPT) Bersatu, Datuk Zulkifli Bujang yang dipecat bersama 16 lagi pemimpin parti itu semalam, mempersoalkan ketelusan Lembaga Disiplin dalam membuat keputusan berkenaan.
Katanya, surat panggilan menghadiri sidang Lembaga Disiplin hanya diterima ketika berada di luar negara atas urusan yang telah dijadualkan lebih awal.
‘’Sejurus menerima surat tersebut, saya telah memohon agar satu tarikh baharu ditetapkan bagi membolehkan saya pulang ke tanah air dan hadir memberikan penjelasan secara bersemuka. Namun demikian, tanpa sebarang sesi pendengaran dan tanpa memberi ruang yang munasabah untuk saya membela diri, keputusan pemecatan telah dibuat,’’ katanya dalam kenyataan.
Mengulas lanjut Zulkifli yang juga Ketua Bersatu Johor Bahru berkata, keadaan itu menimbulkan persoalan serius tentang ketelusan dan integriti proses disiplin parti. Lembaga Disiplin yang sepatutnya menjadi badan bebas dan adil kini dilihat seolah-olah digunakan sebagai instrumen untuk memenuhi agenda kelompok tertentu dalam parti.
‘’Perkembangan ini turut menguatkan persepsi bahawa wujud pengaruh kartel yang mengawal keputusan strategik parti demi mencapai tujuan politik tertentu,’’ katanya.
Bagaimanapun Zulkifli berkata, beliau menghormati keputusan yang telah dibuat oleh parti meskipun berpendapat tindakan pemecatan secara beramai-ramai tersebut adalah satu tindakan yang tidak matang dan tidak mencerminkan semangat demokrasi.
Selain Zulkifli, Lembaga Disiplin turut mengeluarkan notis pemecatan kepada 16 orang lagi pemimpin parti tersebut – satu jumlah yang mungkin mencatatkan sejarah dalam arena politik negara.
Ia memandangkan pemecatan itu dilakukan ‘secara borong’ dalam sehari dan menyaksikan enam Yang Berhormat (YB) disingkirkan iaitu empat ahli Parlimen dan dua Ahli dewan Undangan Negeri (ADUN).
Mereka ialah Timbalan Presiden Bersatu Datuk Seri Hamzah Zainudin (Larut), Wan Ahmad Fayshal Ahmad Kamal (Machang), Kapten Azahari Hasan (Padang Rengas) dan Fathul Huzir Ayob (Gerik) manakala dua Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) ialah Dr.Mohd Yadzil Yaakub (Bemban-Melaka) dan Datuk Zainol Fadzi Paharudin (Sungai Manik-Perak).
Selain Ahmad Fayshal ‘yang dinaikkan pangkat’ daripada digantung kepada dipecat, Wan Saiful Wan Jan (Tasek Gelugor) dan Datuk Seri Saifuddin Abdullah (Indera Mahkota) lebih awal dipecat.
Seramai 10 lagi yang dipecat ialah pemimpin di peringkat bahagian iaitu Datuk Abdul Aziz Ismaila (Dungun), Ahmad Nasir Mid (Selayang), Yunus Nurdin (Libaran), Ramlan Meon (Tangga Batu), Ahmad Ishak (Gopeng), Mohd Hassundi Hamzah (Larut), Kamaruddin Majid (Teluk Intan), Mohd Yunus Mohd Yusop (Tapah), Nabila Norsahar (Sepanggar) dan Mohamad Shafiq Abdul Halim (Hulu Langat).
Mengikut notis yang ditandatangani oleh Pengerusi Lembaga Disiplin Datuk Mohd Radzi Manan, kesemua mereka dipecat di bawah Fasal 9.1.4 Perlembagaan Bersatu.


