SEORANG lelaki etnik Rohingya disyaki membunuh isterinya yang sedang hamil tujuh bulan di rumah sewa mereka di Kampung Makam, Kota Tinggi semalam direman selama enam hari bagi membantu siasatan.
Perintah reman itu dikeluarkan Majistret Nurkhalida Farhana Abu Bakar bermula hari ini sehingga Khamis ini.
Permohonan reman dibuat di Mahkamah Majistret Kota Tinggi hari ini bagi membolehkan siasatan lanjut dijalankan ke atas suspek mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan.
Lelaki berusia 35 tahun itu tiba di mahkamah kira-kira jam 10 pagi dengan berpakaian lokap berwarna oren sambil diiringi anggota polis.
Media semalam melaporkan, seorang wanita hamil tujuh bulan ditemui maut berlumuran darah dipercayai dibunuh suaminya menggunakan lesung batu.
Mangsa berusia 34 tahun ditemukan tidak bernyawa dalam bilik di rumah sewa mereka kira-kira jam 7 pagi oleh pemilik rumah selepas dipercayai dibunuh kira-kira jam 3 pagi.
Ketua Polis Daerah Kota Tinggi, Superintenden Yusof Othman dilaporkan berkata, polis tidak menolak punca kejadian bermotifkan cemburu.
Polis berjaya menahan suspek di sekitar lokasi kejadian.


