Kes budak maut minum methadone dipercayai akibat kecuaian, bukan jenayah – Polis

POLIS menyifatkan kes seorang kanak-kanak lelaki maut selepas dipercayai diberi minum methadone sebagai berpunca daripada kecuaian, dan bukannya perbuatan dengan niat.

Ketua Polis Selangor, Datuk Shazeli Kahar berkata, siasatan awal setakat ini tidak menunjukkan unsur sengaja atau jenayah dalam kejadian tersebut.

“Siasatan awal setakat ini memperlihatkan tidak ada unsur untuk dengan sengaja, mungkin lebih kepada kecuaian.

“Justeru, pengabaian itu lebih menjurus kepada akibat kecuaian,” katanya dalam sidang media selepas Program Walkabout Langkah Selamat ‘Santuni Komuniti Kajang’ di Stesen MRT Stadium Kajang hari ini, lapor FMT.

Beliau berkata, ubat berkenaan adalah milik bapa kanak-kanak terbabit untuk tujuan rawatan.

“Siasatan menunjukkan bahawa kehadiran ubat itu adalah dimiliki oleh bapa kepada budak-budak tersebut. Itu sebenarnya untuk kegunaan bapa mereka,” katanya.

Media pada Rabu lalu melaporkan, seorang budak lelaki berusia 11 tahun maut, manakala dua adiknya masing-masing berusia sembilan dan lima tahun dilaporkan dalam keadaan kritikal setelah dipercayai diberikan methadone oleh ibu kandung mereka.

Shazeli berkata, dua lagi kanak-kanak yang sebelum ini dilaporkan kritikal kini menunjukkan perkembangan positif dan masih menerima rawatan di hospital.

“Kedua-dua beradik itu masih dirawat di hospital tetapi menunjukkan proses pemulihan yang positif,” katanya.

Mengulas tindakan terhadap ibu bapa mangsa, beliau berkata, kedua ibu bapa mangsa telah dibebaskan dengan jaminan polis bagi membolehkan mereka menguruskan kebajikan keluarga.

“Pihak polis telah beri jaminan polis kerana kita faham situasi keluarga ini… pada peringkat ini saya melihatkan kecuaian, bukan ada niat,” katanya.

Dalam perkembangan berasingan, Shazeli berkata, Polis Kontinjen Selangor menggerakkan 3,100 anggota sempena Tahun Baharu Cina bagi mempertingkatkan rondaan dan pencegahan jenayah, khususnya kes pecah rumah, serta menggalakkan orang ramai menggunakan aplikasi Volunteer Smartphone Patrol (VSP) untuk menyalurkan maklumat.

“Pada musim perayaan ini, kemungkinan untuk jenayah berlaku lebih kepada aktiviti pecah rumah. Justeru kita akan mempertingkatkan rondaan di kawasan perumahan,” katanya.

IKUTI SALURAN MEDIA SOSIAL RASMI KAMI

FB : Utusan Melayu Plus
IG: Utusan Melayu Plus
TikTok: @utusanmelayuplusofficial
Whatapps Channel: UTUSAN MELAYU PLUS

Terkini

Related articles

Leave a reply

Please enter your comment!
Please enter your name here

spot_imgspot_img