‘Saya kini penentang nombor satu Muhyiddin’ – Hamzah

AHLI Parlimen Larut, Datuk Seri Hamzah Zainuddin menegaskan beliau kini menjadi penentang utama kepada Presiden Bersatu, Tan Sri Muhyiddin Yassin.

Bekas Timbalan Presiden Bersatu yang dipecat semalam itu berkata, pendirian berkenaan diambil kerana beliau tidak memahami sebab pemecatannya daripada parti.

Berucap di hadapan lebih 500 penyokong, Hamzah menegaskan beliau masih tertanya-tanya punca sebenar beliau disingkirkan daripada parti.

“Saya tidak tahu apa yang berlaku dalam Perhimpunan Agung Tahunan (PAT). Saya ingin memaklumkan kepada semua yang mendengar hari ini, saya tidak tahu kenapa saya dipecat.

“Hari ini saya dipecat kerana didakwa tidak mengawal perkara yang saya sendiri tidak tahu… hantu apa yang ada dalam parti ini?.

“Cukuplah… Dalam PAT, saya bangun sebagai penyokong nombor satu kepada Presiden. Hari ini, saya ingin nyatakan, saya penentang nombor satu kepada Presiden parti,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap pada program Taklimat Hala Tuju dan Reset Politik yang berlangsung di Rumah Kelab Persatuan Alumni Universiti Malaya (PAUM) di ibu negara, petang ini.

Hamzah menegaskan, beliau telah banyak berkorban demi Bersatu dan negara.

“Muhyiddin minta saya tolong, saya tolong. Minta saya sumbang, walaupun dengan wang saya sendiri, saya beri. Semuanya demi perjuangan (parti), kerana saya sedar perjuangan sebenar perlukan pengorbanan.

“Jika kamu guna anjing-anjing upahan (untuk serang saya), kini saya musuh nombor satu kamu,” tegas beliau.

Hamzah merupakan Ahli Parlimen ketiga daripada Bersatu yang dipecat berikutan perbalahan dengan Muhyiddin.

Beliau turut memohon maaf kepada ahli parti, berkata beliau tidak akan kembali kerana tidak berhasrat membuat rayuan kepada Bersatu.

Sebelum ini Ahli Parlimen Tasek Gelugor, Datuk Wan Saiful Wan Jan dan Ahli Parlimen Indera Mahkota, Datuk Seri Saifuddin Abdullah menerima nasib yang sama.

Pemecatan Hamzah semalam diumumkan oleh Pengerusi Lembaga Disiplin Bersatu, Datuk Mohd Radzi Manan dilakukan beberapa jam selepas 16 ahli Parlimen parti itu menyokong kenyataan Ahli Parlimen Beluran, Datuk Seri Dr Ronald Kiandee meminta Muhyiddin meletakkan jawatan sebagai Presiden Bersatu.

Hamzah tidak hadir bertemu dengan Lembaga Disiplin Khamis lalu seperti diarahkan kerana berada di Australia bagi menguruskan anaknya memasuki universiti.

 

IKUTI SALURAN MEDIA SOSIAL RASMI KAMI

FB : Utusan Melayu Plus
IG: Utusan Melayu Plus
TikTok: @utusanmelayuplusofficial
Whatapps Channel: UTUSAN MELAYU PLUS

Terkini

Related articles

Leave a reply

Please enter your comment!
Please enter your name here

spot_imgspot_img