SERAMAI 19 Ahli Parlimen daripada Bersatu termasuk mereka yang sudah dipecat keahlian parti itu menghadiri Taklimat Hala Tuju dan Reset Politik bersama bekas Timbalan Presiden parti, Datuk Seri Hamzah Zainudin di ibu negara, petang ini.
Mereka khususnya yang masih berstatus Ahli Parlimen Bersatu, tetap tampil pada program itu yang diadakan di Rumah Kelab Persatuan Alumni Universiti Malaya (PAUM) walaupun pucuk pimpinan parti itu semalam memberikan peringatan tegas supaya tidak terbabit sebarang bentuk perjumpaan dan perhimpunan anjuran individu yang dipecat oleh Lembaga Disiplin.
Naib Presiden Bersatu, Datuk Seri Dr Ronald Kiandee dalam ucapannya pada taklimat itu berkata, program itu turut dihadiri beberapa Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) serta ketua bahagian parti berkenaan.
Malah, beliau yang juga Ahli Parlimen Beluran mendakwa, seramai 118 daripada 168 ketua bahagian serta sebahagian besar ADUN Bersatu menyokong Hamzah yang merupakan antara 17 pemimpin dipecat keahlian parti itu semalam.
“Sebagai penganjur, kita ada 19 Ahli Parlimen bersama pada petang ini. Mereka ialah Ahli Parlimen Kangar, Kubang Pasu, Kulim Bandar Baharu, Ketereh, Tanah Merah dan Machang.
“Selain itu, Ahli Parlimen Hulu Terengganu, Tasek Gelugor, Gerik, Padang Rengas, Lumut, Indera Mahkota, Rompin, Sabak Bernam, Sungai Besar, Masjid Tanah, Mersing dan Larut.
“Kita tidak perlu kalkulator untuk mengenal pasti berapa ramai ketua bahagian yang menyokong Presiden Bersatu, Tan Sri Muhyiddin Yassin. Tidak sampai satu pertiga pun yang menyokong kuat Muhyiddin,” katanya.
Semalam, Setiausaha Agung Bersatu, Datuk Seri Mohamed Azmin Ali dilaporkan berkata semua ahli parti diberi peringatan tegas supaya tidak terbabit sebarang bentuk perjumpaan dan perhimpunan yang dianjurkan individu dipecat oleh Lembaga Disiplin parti itu.
Mohamed Azmin dilaporkan berkata, menjadi satu kesalahan bagi mana-mana ahli bersekongkol dengan individu atau pihak yang bertindak bertentangan dengan Perlembagaan parti serta mengeluarkan kata-kata kesat yang mencemarkan nama baik dan maruah parti, sekali gus boleh dikenakan tindakan disiplin.


