POLIS berjaya mematahkan aktiviti penyeludupan migran selepas menahan 36 individu termasuk dua dalang dalam serbuan di dua lokasi berasingan sekitar Selekoh, Bagan Datuk.
Ketua Polis Perak, Datuk Noor Hisam Nordin berkata, tangkapan dilakukan sepasukan pegawai dan anggota daripada Bahagian Siasatan Jenayah serta Cawangan Khas Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Bagan Datuk yang membuat serbuan di kebun kelapa sawit Sungai Payung dan Kampung Sungai Payung semalam dan hari ini.
Menurutnya, hasil pemeriksaan di lokasi tersebut, seramai 29 orang ditahan terdiri daripada 21 lelaki dan empat wanita warga Indonesia serta empat lelaki warga Bangladesh berusia antara 18 hingga 55 tahun yang sedang duduk berkumpul bersama beg pakaian dipercayai cuba untuk diseludup pulang ke Indonesia dengan menggunakan jalan laut.
“Seorang tekong darat warga Indonesia berusia 44 tahun turut diberkas dalam serbuan berasingan di lokasi sama kira-kira 9.40 malam, selain seorang lagi lelaki warga Indonesia yang dipercayai bertindak sebagai transporter darat ditahan di sebuah hotel di Hutan Melintang.
“Polis turut merampas sebuah kereta Honda City yang dipercayai digunakan dalam kegiatan tersebut dan kedua-dua suspek dipercayai berperanan menguruskan bekalan makanan serta pengangkutan migran berkenaan,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Noor Hisam berkata, dalam serbuan kedua pada jam 8.56 pagi tadi, dua lelaki dan tiga wanita warga Indonesia berusia antara 20 dan 36 tahun ditahan di tepi jalan kampung Sungai Payung.
“Susulan itu, tekong dan transporter darat direman 28 hari hingga 13 Mac depan di bawah Seksyen 4(5) Akta Kesalahan Keselamatan (Langkah-langkah) Khas 2012, manakala 34 migran direman 14 hari di bawah Seksyen 51(5)(b) Akta Imigresen 1959 (Pindaan 2002).
“Kesemua mereka akan dibawa ke Pejabat Imigresen Ipoh untuk pengesahan identiti rekod keluar masuk,” katanya.
Beliau berkata, kes ini disiasat di bawah Seksyen 26a Akta Anti Pemerdagangan Orang dan Antipenyeludupan Migran 2007 serta Seksyen 6 (1) (c) Akta Imigresen 1959/63.


