Deretan kedai terbakar, bapa melecur redah api selamatkan isteri, empat Anak

SEORANG bapa melecur pada muka dan badan selepas meredah kebakaran bagi menyelamatkan isteri serta empat anaknya dalam kejadian membabitkan deretan sembilan kedai di Kota Belud, hari ini.

Mangsa berusia 32 tahun mengalami kecederaan ketika membawa keluar ahli keluarganya sebelum api marak dan memusnahkan hampir keseluruhan bangunan berkenaan.

Isterinya yang berusia 32 tahun serta empat anak mereka masing-masing berusia 11, lapan dan lima tahun serta seorang bayi lelaki berusia sebulan dilaporkan selamat dalam kejadian itu.

Ketua Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Kota Belud, Elge Bakuk berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan berhubung kejadian itu pada pukul 5.32 pagi.

Beliau berkata, tujuh anggota bersama sebuah jentera Fire Rescue Tender (FRT) dan sebuah jentera Perkhidmatan Penyelamatan Perubatan Kecemasan (EMRS) kemudian digerakkan ke lokasi yang terletak 22 kilometer dari BBP Kota Belud.

“Sebaik tiba di lokasi, pasukan bomba mendapati kebakaran membabitkan deretan kedai jenis separuh kekal satu blok sembilan pintu dengan keluasan kira-kira 557 meter persegi dan terbakar 95 peratus.

“Operasi pemadaman dijalankan menggunakan dua aliran sepanjang 61 meter dengan dua pancutan. Sumber air diperoleh daripada jentera dan pili bomba di luar kawasan kejadian,” katanya dalam kenyataan hari ini, lapor Harian Metro.

Menurutnya, pili bomba berhampiran sekolah bagaimanapun tidak mempunyai tekanan air menyebabkan pasukan bomba terpaksa bergerak kira-kira tiga kilometer ke kawasan Tag Valley bagi tujuan pengisian semula air menggunakan pili bomba di tepi jalan.

Beliau berkata, semua mangsa menerima rawatan awal daripada pasukan EMRS dan Kementerian Kesihatan Malaysia sebelum mangsa yang melecur dihantar ke Hospital Kota Belud untuk rawatan lanjut.

“Operasi berjaya dikawal pada pukul 7.13 pagi sebelum ditamatkan sepenuhnya pada pukul 10.55 pagi selepas kerja-kerja overhaul dan pemeriksaan keselamatan selesai dijalankan bagi memastikan tiada lagi bahaya,” katanya.

Menurutnya, punca kebakaran dan anggaran kerugian masih dalam siasatan.

IKUTI SALURAN MEDIA SOSIAL RASMI KAMI

FB : Utusan Melayu Plus
IG: Utusan Melayu Plus
TikTok: @utusanmelayuplusofficial
Whatapps Channel: UTUSAN MELAYU PLUS

Terkini

Related articles

Leave a reply

Please enter your comment!
Please enter your name here

spot_imgspot_img