AZAM Baki menegaskan beliau tidak perlu bercuti susulan siasatan berkait isu pemilikan saham sedang dijalankan terhadapnya.
Ketua pesuruhjaya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) berkata, sebelum ini ada juga individu yang disiasat di mahkamah namun masih bertugas.
“Saya tak perlu bercuti,” katanya mengulas pihak tertentu yang mahunya direhatkan sementara siasatan dijalankan, lapor Berita Harian.
Beliau ditemui media selepas majlis perasmian Kampung Angkat Madani di Kampung Sungai Buah, Dengkil, hari ini.
Azam juga ditanya mengenai desakan beberapa Ahli Parlimen supaya beliau mengambil cuti.
Katanya, perkara itu bukan isu dan terpulang kepada sesiapa sahaja untuk membuat desakan sedemikian.
“Itu terpulang kepada mereka. Saya tidak perlu bercuti,” katanya sambil mengulangi kesediaan disiasat jawatankuasa khas ditubuhkan kerajaan.
“Saya bersedia pada bila-bila masa dan jika dipanggil, saya akan menyerahkan dokumen-dokumen yang berkaitan. Saya tidak ada apa-apa yang hendak disembunyikan,” katanya.
Dalam pada itu, beliau mengulas mengenai protes yang dirancang diadakan di ibu negara hari ini.
“Saya tidak mahu ulas. Sebelum ini sudah banyak demonstrasi terhadap saya, ini bukan kali pertama, anda boleh semak rekod,” katanya.
Menurutnya, terpulang kepada pihak berkenaan sama ada mahu berhimpun atau mengadakan protes.
Semalam, Peguam Negara, Mohd Dusuki Moktar yang mengetuai jawatankuasa khas siasatan berhubung isu pemilikan saham oleh Azam, memaklumkan siasatan terhadap dakwaan itu sudah dimulakan.
“Siasatan telah pun bermula. Sebagai langkah permulaan, kami sedang mengumpul maklumat berkaitan kes berkenaan,” katanya.
Jawatankuasa itu turut dianggotai Ketua Pengarah Perkhidmatan Awam, Wan Ahmad Dahlan Abdul Aziz dan Ketua Setiausaha Perbendaharaan Johan Mahmood Merican.
Sebelum ini Bloomberg dalam laporannya mendakwa Azam memiliki saham dalam sebuah syarikat perkhidmatan kewangan berdasarkan pemfailan korporat kepada Suruhanjaya Syarikat Malaysia (SSM).
Bagaimanapun, Azam pada sidang media baru-baru ini, menegaskan pegangan saham miliknya bernilai RM800,000 dalam sebuah syarikat perkhidmatan kewangan dibuat secara telus dan mengikut prosedur.
Malah, Azam dilaporkan berkata, tidak ada perkara yang disembunyikan dan sudah diisytiharkan sepenuhnya, malah saham berkenaan yang dibeli tahun lalu sudah dilupuskan dalam tahun sama.


