SURUHANJAYA Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) kelmarin memfailkan permohonan di mahkamah bagi mendapatkan perintah pelucuthakan harta alih milik Putera Turki Abdullah Al-Saud di luar Malaysia.
Permohonan itu difailkan mengikut Seksyen 56(1), 59, dan 61(2) Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram, Pencegahan Pembiayaan Keganasan dan Hasil Daripada Aktiviti Haram (AMLATFPUAA 2001).
Harta-harta yang terbabit adalah wang berjumlah keseluruhan USD115,320,661.63 (kira-kira RM450.5 juta) yang disimpan dalam beberapa akaun bank di Switzerland, termasuk di JP Morgan (Suisse) SA dan UBS Switzerland AG.
Ketua Pesuruhjaya SPRM, Tan Sri Azam Baki ketika dihubungi mengesahkan permohonan mahkamah itu dan menegaskan komitmen SPRM untuk terus memastikan sebarang hasil yang diperoleh melalui aktiviti menyalahi undang-undang diambil tindakan sewajarnya menurut lunas perundangan yang berkuat kuasa.
Beliau juga menjelaskan, tindakan itu diambil selaras dengan peruntukan undang-undang yang memberi kuasa kepada SPRM untuk memohon pelucuthakan harta yang dipercayai hasil daripada aktiviti haram, tertakluk kepada perintah mahkamah.


