Kerajaan Arab Saudi tetapkan bayaran dam prasyarat proses keluar visa

KERAJAAN  Arab Saudi menetapkan bayaran dam sebagai prasyarat proses pengeluaran visa kepada setiap bakal jemaah haji yang melaksanakan haji Tamattuk dan Qiran bermula Musim Haji 1447H/2026M.

Lembaga Tabung Haji (TH) memaklumkan pihaknya akan menguruskan pembayaran dam kepada The Kingdom of Saudi Arabia Project for Utilisation of Hady & Adahi (ADAHI) bagi pihak jemaah dengan kadar ditetapkan RM810 bagi seekor kibas untuk musim berkenaan.

Menurut TH, bayaran dam perlu ditunaikan setiap jemaah mengikut jenis ibadat haji yang dipilih dan boleh dibuat melalui aplikasi THiJARI atau di kaunter cawangan TH bermula 1 Ramadan.

“Bagi jemaah yang tidak membuat bayaran awal, bermula 1 Syawal, TH akan membekukan jumlah berkenaan daripada akaun mereka sebelum proses pendebitan dilaksanakan,” menurut kenyataan itu hari ini.

TH memaklumkan semua bakal haji yang melaksanakan haji Tamattuk dan Qiran perlu menjelaskan bayaran dam sebelum tiba di Tanah Suci, manakala bagi haji Ifrad, bayaran akan dipulangkan sekiranya akaun telah didebitkan selepas perakuan dibuat, tertakluk kepada pengesahan TH.

Sementara itu, Pengarah Urusan Kumpulan dan Ketua Pegawai Eksekutif TH Tuan Haji Mustakim Mohamad berkata pelaksanaan dam melalui ADAHI merupakan syarat baharu dikenakan kepada semua jemaah haji seluruh dunia yang mengerjakan haji Tamattuk dan Qiran bagi musim ini.

“TH mengambil inisiatif memaklumkan kepada jemaah negara lebih awal bagi melancarkan urusan pengeluaran visa haji,” katanya dalam kenytaan sama.

TH juga memaklumkan penyertaan Qurban di Tanah Suci tahun ini dibuka kepada semua pendeposit TH pada kadar RM810 bagi seekor kibas dan pembayaran boleh dibuat melalui THiJARI atau di kaunter cawangan TH seluruh negara.

TH turut menasihatkan orang ramai agar berwaspada terhadap tawaran pembayaran dam dan Qurban yang mencurigakan daripada agensi pelancongan atau mana-mana pihak, memandangkan kebenaran pihak berkuasa Arab Saudi diperlukan untuk melaksanakannya.

Orang ramai boleh melayari www.tabunghaji.gov.my atau menghubungi TH Contact Centre di talian 03-62071919 untuk maklumat lanjut.

IKUTI SALURAN MEDIA SOSIAL RASMI KAMI

FB : Utusan Melayu Plus
IG: Utusan Melayu Plus
TikTok: @utusanmelayuplusofficial
Whatapps Channel: UTUSAN MELAYU PLUS

Terkini

Related articles

Leave a reply

Please enter your comment!
Please enter your name here

spot_imgspot_img