Ibu tunggal jalankan aktiviti persundalan didenda RM2,500

MAHKAMAH Majistret Ayer Keroh menjatuhkan hukuman denda RM2,500 ke atas seorang ibu tunggal semalam selepas dia mengaku bersalah terbabit aktiviti persundalan di sebuah hotel di bandar raya ini, minggu lalu.

Azwana Sulaiman, 46, dari Pandamaran Jaya, Pelabuhan Klang, Selangor membuat pengakuan itu selepas pertuduhan terhadapnya dibacakan di hadapan Majistret Uthman Abd Ghani.

Wanita itu didakwa mengikut Seksyen 372B Kanun Keseksaan membayar denda ditetapkan yang jika gagal dijelaskan boleh dikenakan hukuman penjara tiga bulan. Seksyen 372B KK memperuntukkan hukuman penjara maksimum setahun atau dengan denda atau kedua-duanya.

Dia mengaku bersalah mencari langganan bagi tujuan persundalan di sebuah bilik hotel di Jalan Persisiran Bunga Raya, di Melaka kira-kira jam 8.05 malam 12 Februari lalu.

Mengikut fakta kes, sepasukan polis Cawangan D7 (Kongsi Gelap, Maksiat dan Perjudian) Ibu Pejabat Polis Kontinjen Melaka menjalankan risikan di hotel terbabit berhubung penawaran khidmat seks di aplikasi WeChat.

Pasukan polis kemudian menyerbu sebuah bilik dan hasil pemeriksaan menemukan satu tiub pelincir, tiga keping kondom, tisu, telefon bimbit, tisu basah, alat perangsang seks dan wang tunai RM350.

Hasil soal siasat, tertuduh mengaku menjalankan kegiatan pelacuran selama dua tahun.

Pendakwaan diwakili Timbalan Pendakwa Raya Shauki Mardia Baharudin, manakala tertuduh diwakili peguam, Nigel Tai yang merayu hukuman ringan atas alasan anak guamnya seorang ibu tunggal dan hanya bekerja sebagai pelayan restoran, selain perlu menyara empat anak, termasuk yang masih belajar di kolej dan sedang menunggu keputusan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM).

 

IKUTI SALURAN MEDIA SOSIAL RASMI KAMI

FB : Utusan Melayu Plus
IG: Utusan Melayu Plus
TikTok: @utusanmelayuplusofficial
Threads: @utusanmelayuplus
Whatapps Channel: Utusan Melayu Plus

Terkini

Related articles

Leave a reply

Please enter your comment!
Please enter your name here

spot_img