Polis buru lelaki ‘bertudung’ pecah rumah di Shah Alam

POLIS sedang memburu seorang lelaki yang disyaki memecah masuk sebuah rumah di Seksyen 7, Shah Alam selepas tindakannya menyamar sebagai wanita bertudung bagi mengelak disyaki, tular baru-baru ini.

Ketua Polis Daerah Shah Alam, Asisten Komisioner Ramsay Embol berkata, satu laporan polis diterima jam 7.20 malam tadi daripada wanita tempatan yang juga penyewa sebuah rumah di unit kawasan itu memaklumkan kediaman disewa bersama rakan-rakan dipecah masuk.

“Mangsa berusia 20-an yang juga seorang pelajar universiti awam tempatan mengatakan kali terakhir meninggalkan rumah berkenaan pada 17 Februari lalu untuk bercuti di kampung.

“Pada jam 6.30 petang semalam, selepas mangsa pulang bercuti dapati pintu masuk utama rumahnya terbuka dan keadaan di dalam berselerak dipercayai dimasuki individu tidak dikenali.

“Siasatan polis menerusi rakaman kamera litar tertutup (CCTV) mendapati, kelihatan seorang lelaki bangsa tidak pasti, yang mana suspek memecah masuk ke dalam rumah itu pada jam 9.26 pagi semalam ketika tiada sesiapa di rumah.

“Berdasarkan rakaman itu, suspek cuba menyamar dengan mengenakan pakaian wanita seperti bertudung dan membawa beg tangan agar perbuatannya tidak disyaki penghuni rumah lain di kawasan terbabit,” katanya dalam kenyataan hari ini, lapor Harian Metro.

Bagaimanapun, Ramsay berkata, dalam kejadian itu tiada sebarang kerugian atau kehilangan barang berharga dilaporkan.

“Suspek sedang giat dikesan dan siasatan dijalankan mengikut Seksyen 457 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman penjara sehingga 14 tahun dan boleh juga dikenakan sebatan jika didapati bersalah,” katanya.

Pada masa sama katanya, polis menasihatkan orang ramai terutamanya penduduk di kawasan sekitar agar memaklumkan kepada jiran atau polis di balai berdekatan sekiranya meninggalkan rumah untuk bercuti.

“Mana-mana individu yang mempunyai maklumat lanjut boleh menghubungi Pegawai Penyiasat Jenayah, Sarjan Rustam Eliah di talian 019-6148034 bagi membantu siasatan,” katanya.

Terdahulu, tular di media sosial suspek yang mengenakan tudung dan beg tangan cuba memanjat pintu rumah dan melakukan sesuatu kepada CCTV.

IKUTI SALURAN MEDIA SOSIAL RASMI KAMI

FB : Utusan Melayu Plus
IG: Utusan Melayu Plus
TikTok: @utusanmelayuplusofficial
Threads: @utusanmelayuplus
Whatapps Channel: Utusan Melayu Plus

Terkini

Related articles

Leave a reply

Please enter your comment!
Please enter your name here

spot_img