Hamzah, 18 Ahli Parlimen sokong pelantikan Ahmad Samsuri sebagai Pengerusi PN

BEKAS Timbalan Presiden Bersatu, Datuk Seri Hamzah Zainudin bersama 18 Ahli Parlimen hari ini menyatakan sokongan mereka terhadap pelantikan Naib Presiden Pas, Datuk Seri Dr Ahmad Samsuri Mokhtar sebagai Pengerusi baharu Perikatan Nasional (PN).

Menerusi kenyataan bersama, kesemua Ahli Parlimen berkenaan merakamkan ucapan tahniah kepada Menteri Besar Terengganu atas pelantikan itu yang disifatkan sebagai langkah konsolidasi serius gabungan berkenaan dalam memperkukuh peranan sebagai blok pembangkang serta bersedia berkhidmat kepada rakyat dan membina negara.

“Sebagai Ahli Parlimen, kami terus menyokong PN yang dipimpin oleh Pas selaku parti tunjangnya,” menurut kenyataan itu.

Selain Hamzah sebagai Ahli Parlimen Larut yang menyokong pelantikan itu, turut menyatakan sokongan ialah Ahli Parlimen Beluran, Datuk Seri Ronale Kiandee; Ahli Parlimen Masjid Tanah, Datuk Mas Ermieyati Samsudin; Ahli Parlimen Indera Mahkota, Datuk Seri Saifuddin Abdullah dan Datuk Seri Ikmal Hisham Abdul Aziz (Tanah Merah).

Turut bersama ialah Datuk Rosol Wahid (Hulu Terengganu), Datuk Wan Saiful Wan Jan (Tasek Gelugor), Datuk Ku Abd Rahman Ku Ismail (Kubang Pasu), Datuk Muslimin Yahaya (Sungai Besar), Datuk Abdul Khalid Abdullah (Rompin), Khlir Mohd Nor (Ketereh) dan Wan Ahmad Fayhsal Wan Ahmad Kamal (Machang).

Selain itu, Zakri Hassan (Kangar), Roslan Hashim (Kulim Bandar Baharu), Fathul Huzir Ayob (Gerik), Azahari Hassan (Padang Rengas), Nordin Ahmad Ismail (Lumut), Kalam Salam (Sabak Bernam) serta Islahuddin Abbas (Mersing).

Petang ini, Majlis Tertinggi PN sebulat suara bersetuju melantik Ahmad Samsuri mengetuai gabungan itu menggantikan Presiden Bersatu, Tan Sri Muhyiddin Yassin yang meletak jawatan pada 1 Januari lalu. Muhyiddin kini dilantik Timbalan Pengerusi PN.

Hamzah dan tiga Ahli Parlimen dipecat daripada Bersatu pada 13 Februari lalu di kemuncak kemelut kepimpinan antara beliau dan Muhyiddin.

Mereka dilaporkan akan mengambil alih parti politik lain minggu depan.

 

IKUTI SALURAN MEDIA SOSIAL RASMI KAMI

FB : Utusan Melayu Plus
IG: Utusan Melayu Plus
TikTok: @utusanmelayuplusofficial
Threads: @utusanmelayuplus
Whatapps Channel: Utusan Melayu Plus

Terkini

Related articles

Leave a reply

Please enter your comment!
Please enter your name here

spot_img