PM lancar inisiatif Rakan Masjid X Rakan Muda Ramadan

DATUK Seri Anwar Ibrahim hari ini melancarkan inisiatif Rakan Masjid X Rakan Muda Ramadan yang bertujuan menghubungkan institusi masjid dengan golongan belia melalui pendekatan lebih segar dan inklusif.

Perdana Menteri berkata, inisiatif itu selari dengan aspirasi Malaysia MADANI yang menekankan pembangunan insan secara menyeluruh.

Menurut beliau, masjid tidak harus dilihat sekadar tempat ibadah, sebaliknya berperanan sebagai pusat penyatuan masyarakat dan pembangunan sahsiah.

“Anak muda perlu diberi ruang dan kepercayaan untuk memimpin aktiviti yang membawa manfaat kepada masyarakat.

“Saya senang bila ada tokoh-tokoh muda kita, tidak sibuk dalam isu-isu yang memecah-belahkan, sebaliknya menggunakan Ramadan dan Madrasah Ramadan untuk mengangkat darjat kemanusiaan dan keimanan kita, secara positif,” katanya.

Anwar berkata demikian ketika berucap pada Majlis Berbuka Puasa bersama Perdana Menteri dan Majlis Peluncuran Rakan Masjid X Rakan Muda Ramadan di Masjid Wilayah Persekutuan, di ibu negara hari ini.

Yang turut hadir, Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Dr Zulkifli Hasan, Menteri Belia dan Sukan, Dr Mohammed Taufiq Johari serta Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Marhamah Rosli.

Perdana Menteri mahu institusi masjid terus diperkasakan sebagai pusat pembangunan ummah serta medan menyemai nilai ihsan dan perpaduan dalam kalangan masyarakat khususnya generasi muda.

Program Rakan Muda Ramadan akan dilaksanakan di setiap negeri serta 113 daerah di seluruh negara.

Penyertaan di setiap negeri disasar melibatkan 400 peserta kecuali di Perlis dan Labuan yang masing-masing 300 peserta, menjadikan jumlah keseluruhan penyertaan di peringkat negeri sebanyak 5,800 orang.

Bagi peringkat daerah, sebanyak 130 peserta dijangka menyertai program itu, menjadikan jumlah keseluruhan 14,690 peserta.

 

IKUTI SALURAN MEDIA SOSIAL RASMI KAMI

FB : Utusan Melayu Plus
IG: Utusan Melayu Plus
TikTok: @utusanmelayuplusofficial
Threads: @utusanmelayuplus
Whatapps Channel: Utusan Melayu Plus

Terkini

Related articles

Leave a reply

Please enter your comment!
Please enter your name here

spot_img