Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) Terengganu menyita 63 kenderaan termasuk empat lori kerana berada di atas jalan raya dalam tempoh larangan pemanduan kenderaan perdagangan Op Tahun Baharu Cina (TBC) yang berakhir Ahad lalu.
Pengarahnya, Zamri Samion berkata, empat lori membawa muatan kayu, besi, sawit dan atap zink itu ditahan di lokasi berbeza di Setiu dan Bukit Besi, Dungun.
Katanya, lain-lain kenderaan yang disita adalah motosikal (47), kereta (sembilan) dan tiga lain-lain kenderaan membabitkan kesalahan teknikal kenderaan, cukai jalan tamat tempoh dan tiada lesen memandu.
“Daripada segi pematuhan undang-undang secara keseluruhan dilihat semakin tinggi terutama pemakaian tali pinggang keledar bas ekspres di mana sejak Januari lalu tidak ada sebarang kes direkodkan,” katanya, lapor Harian Metro.
Zamri berkata, pematuhan terhadap lampu isyarat merah dan penggunaan topi keledar di kalangan penunggang motosikal terutama di laluan kampung masih berada pada tahap rendah.
Justeru, pihaknya akan meningkatkan penguatkuasaan memandangkan dua kesalahan itu adalah antara punca berlaku kemalangan dan kematian.
“Dalam tempoh Op TBC, kegagalan mematuhi lampu isyarat merah paling tinggi direkodkan bagi sembilan kesalahan utama lalu lintas iaitu 301 kes, diikuti tidak memakai topi keledar (213 kes) dan tidak memakai tali pinggang keledar (20 kes).
“Manakala kematian akibat kemalangan sebanyak 10 kes berbanding enam kes dalam tempoh sama tahun lalu,” katanya.
Beliau berkata, sebanyak 18,480 kenderaan diperiksa dan 1,304 daripadanya dikenakan tindakan dengan jumlah saman dikeluarkan sebanyak 1,947, notis arah periksa (358) dan 1,060 notis bagi kesalahan lain.
Katanya, sebanyak 3,000 kesalahan direkodkan dengan yang tertinggi membabitkan lesen kenderaan motor (LKM) dan lesen memandu serta tiada perlindungan insurans.


