TIGA daripada lima sekeluarga yang maut dalam kebakaran sebuah rumah di Kampung Pamah Kulat, Ulu Dong di Raub awal pagi ini ditemukan di bilik air manakala dua lagi di luar rumah.
Ketua Pengarah Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM), Datuk Seri Nor Hisham Mohammad berkata, mangsa yang ditemukan dalam bilik air ialah seorang lelaki dan wanita dewasa serta anak perempuan pasangan itu.
Beliau berkata, dua mangsa kanak-kanak perempuan yang ditemukan di luar rumah dua bilik itu dipercayai cuba menyelamatkan diri semasa kejadian.
“Dua kanak-kanak itu ditemukan sudah rentung di luar rumah sebaik sahaja bomba tiba di lokasi pada jam 4.15 pagi.
“Mayat tiga lagi mangsa dijumpai di dalam bilik air dengan kecederaan melecur selepas pemadaman penuh selesai,” katanya kepada pemberita di lokasi kejadian. Yang turut hadir, Pengarah JBPM Pahang, Datuk Mohd Razam Taja Rahim.
Nor Hisham berkata, mangsa berkemungkinan menyedari kebakaran ketika api sudah marak yang menyukarkan mereka menyelamatkan diri.
“Siasatan awal mendapati laluan keluar tidak dipasang jeriji besi dan boleh dibuka dengan cepat. Kemungkinan besar mereka sedar semasa api sudah marak yang menyukarkan pandangan untuk melepaskan diri,” katanya.
Bagaimanapun, Nor Hisham berkata, siasatan lanjut termasuk bagi mengenal pasti jika terdapat unsur lain terbabit dalam kebakaran itu masih diteruskan dan akan turut menggunakan khidmat anjing pengesan.
Tinjauan media mendapati, dua anjing pengesan, iaitu Cleo dan Derry berada di lokasi kejadian untuk membantu siasatan.
Sebelum ini, Mohd Razam dilaporkan berkata, pasukan bomba dan penyelamat tiba di lokasi kejadian pada jam 4.15 pagi dan operasi pemadaman berjaya mengawal api pada jam 4.48 pagi.
Menurut beliau, kebakaran memusnahkan 100 peratus struktur rumah selain melibatkan masing-masing tiga kereta dan motosi


