SEORANG lelaki yang bekerja sendiri didakwa di Mahkamah Majistret Kota Kinabalu hari ini atas pembunuhan kejam seorang wanita yang mayatnya ditemukan dikerat di Taman Indah Permai, Sepanggar, Sabah baru-baru ini.
Tertuduh, Piluta Samad, 71, ketika pertuduhan dibacakan di hadapan Majistret Dzul Elmy Yunus memahami pertuduhan namun tiada pengakuan direkodkan.
Pengakuan tertuduh hanya akan diambil di Mahkamah Tinggi sebaik kes itu dipindahkan ke sana.
Piluta didakwa membunuh Hamidah Husin atau dikenali sebagai Lisa, seorang wanita tanpa dokumen pada 11 Februari 2026, antara jam 6 petang dan 7 malam di sebuah rumah tidak bernombor di Kampung Sri Kenangan, Jalan Sepanggar, berhampiran Kota Kinabalu.
Dia didakwa mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman mati atau penjara untuk tempoh tidak kurang 30 tahun tetapi tidak melebihi 40 tahun, dan jika tidak dijatuhi hukuman mati, minimum 12 sebatan.
Timbalan Pendakwa Raya Kareena Kaur Gill Karamjit Singh memohon tarikh sebutan lanjut sementara menunggu laporan DNA, patologi, forensik dan kimia, lapor Harian Metro.
Beliau juga membantah jaminan memandangkan keseriusan kes itu. Tertuduh tidak diwakili peguam.
Mahkamah kemudian menetapkan 15 April depan untuk sebutan semula kes dan memerintahkan tertuduh terus ditahan sementara menunggu tarikh itu.
Media sebelum ini melaporkan, seorang wanita berusia 44 tahun ditemukan mati dengan mayatnya dikerat kepada tujuh bahagian dan dibuang di beberapa tapak pelupusan sampah.
Lelaki berusia 71 tahun itu, yang dipercayai bekas tunang mangsa ditangkap sebagai suspek utama tidak sampai 24 jam selepas penemuan anggota tubuh mangsa.
Tiga individu lain yang juga anak-anaknya terdiri daripada seorang lelaki dan dua wanita turut ditahan bagi membantu siasatan.
Sehingga kini, dua bahagian anggota badan mangsa iaitu kaki kiri dan tangan kanan, masih belum ditemukan.


