6 termasuk tiga remaja sebar fahaman kumpulan pengganas IS ditahan – KPN

ENAM lelaki termasuk tiga remaja bawah umur disyaki terlibat dengan aktiviti berorientasikan keganasan berkaitan kumpulan Islamic State (IS) ditahan dalam operasi khas oleh Cawangan Khas, Polis Diraja Malaysia (PDRM) pada 14 dan 15 Februari lalu.

Ketua Polis Negara, Datuk Seri Mohd Khalid Ismail berkata, kesemua mereka berusia antara 16 hingga 21 tahun, ditahan dalam serbuan di sekitar Lembah Klang, Kedah, Johor dan Terengganu didapati terbabit dalam aktiviti berorientasikan keganasan dan fahaman ekstremis secara dalam talian.

“Selain melafazkan ikrar atau berbai’ah dengan pemimpin IS, siasatan polis turut mendedahkan suspek merancang serangan ke atas balai polis, instalasi penting kerajaan dan fasiliti kepentingan awam.

“Aktiviti yang dijalankan mereka merangkumi penyebaran ideologi radikal, perekrutan, promosi bahan propaganda dan perancangan serangan melibatkan golongan belia, remaja dan kanak,” katanya dalam sidang akhbar di Ibu Pejabat Polis Bukit Aman, Kuala Lumpur hari ini, lapor Sinar Harian.

Mohd Khalid turut mendedahkan satu penemuan yang membimbangkan iaitu proses radikalisasi suspek seawal usia remaja ini bermula melalui platform digital, termasuk permainan dalam talian yang popular dalam kalangan kanak-kanak (Roblox).

“Modus operandi pembentukan minda radikal ini berpunca daripada kecenderungan melayari media sosial berkaitan peperangan dan krisis geopolitik di Asia Barat.

“Lebih mengejutkan, permainan dalam talian khususnya Roblox turut menjadi medium yang membentuk minda suspek ke arah fahaman radikal,” katanya.

Menurutnya, suspek turut dikesan mewujudkan dan menyertai kumpulan sembang pro-IS di platform WhatsApp, Telegram, dan Discord.

“Pembentukan fikiran radikal melalui medium dalam talian ini memberi kesan serius kepada mental golongan muda,” katanya.

Beliau berkata, hasil pemeriksaan dan penggeledahan, PDRM telah berjaya merampas peralatan mengandungi bahan berkaitan kumpulan IS dalam milikan suspek seperti 11 unit telefon bimbit, dua unit komputer riba, satu unit external hard disk, empat bendera IS, satu baju berlogo IS dan tiga unit buku berunsur ekstremis.

“Tangkapan dan rampasan dilaksanakan mengikut prosedur di bawah Akta Kesalahan Keselamatan (Langkah-Langkah Khas) (SOSMA) 2012, tanpa mengabaikan hak-hak yang termaktub di bawah Akta Kanak-Kanak 2001 dan Konvensyen Mengenai Hak Kanak-Kanak,” katanya.

Katanya, semua suspek disiasat di bawah Bab 6A Kanun Keseksaan berkaitan kesalahan keganasan dan bakal berdepan pelbagai pertuduhan, termasuk Seksyen 130J iaitu mempromosi kumpulan pengganas serta menjadi atau mengaku ahli kumpulan pengganas dan Seksyen 130JB: memiliki, menyediakan, memaparkan, atau mengedar bahan-bahan berkaitan kumpulan pengganas.

Mohd Khalid turut memberi jaminan bahawa memandangkan tiga daripada suspek adalah kanak-kanak, PDRM mengambil pendekatan berkhemah bagi memastikan identiti, maruah, dan masa depan mereka dilindungi selaras dengan Seksyen 15 Akta Kanak-Kanak 2001 dan Konvensyen Mengenai Hak Kanak-Kanak.

“Masyarakat, terutama ibu bapa perlu memantau aktiviti dan pergaulan anak di setiap peringkat termasuk aktiviti di atas talian. Ibu bapa wajib peka terhadap perubahan tingkah laku anak-anak yang berisiko terjebak dengan elemen keganasan.

“Setakat ini, tahap keselamatan negara kekal berada dalam keadaan aman dan terkawal walaupun wujud pergolakan geopolitik antarabangsa, dengan pihak polis terus memperkukuh pemantauan dan risikan secara proaktif,” katanya.

 

 

IKUTI SALURAN MEDIA SOSIAL RASMI KAMI

FB : Utusan Melayu Plus
IG: Utusan Melayu Plus
TikTok: @utusanmelayuplusofficial
Threads: @utusanmelayuplus
Whatapps Channel: Utusan Melayu Plus

Terkini

Related articles

Leave a reply

Please enter your comment!
Please enter your name here

spot_img