KEMENTERIAN Pengangkutan menggesa Lembaga Lebuhraya Malaysia (LLM) dan pihak pengurusan PLUS Malaysia Berhad (PLUS) untuk mengambil langkah susulan bagi memastikan kejadian banjir kilat di Kilometer 287 berhampiran hentian sebelah Nilai semalam tidak berulang.
Menterinya, Anthony Loke yang juga Ahli Parlimen Seremban berkata, insiden banjir kilat itu yang telah mengakibatkan kesesakan teruk memerlukan pelan kontingensi serta kajian menyeluruh.
“Saya percaya LLM dan PLUS sudah tentu mengambil langkah susulan. Memang terdapat projek baharu di sepanjang lebuh raya yang sedang diterokai dan dibangunkan.
“Jika itu menjadi punca berlakunya banjir kilat, pihak pemaju dan kontraktor perlu mengambil tanggungjawab masing-masing,” katanya dalam satu program di Seremban hari ini.
Dalam kejadian petang semalam, ratusan kenderaan terperangkap selama beberapa jam selepas semua laluan empat lorong yang menghala ke utara dan selatan ditenggelami air susulan hujan lebat sejak 6.30 petang.
PLUS dalam kenyataan memaklumkan trafik mengalami kesesakan sejauh 12 kilometer dari Kajang ke Nilai disebabkan banjir kilat di Kilometer 287 yang mengakibatkan semua lorong terhalang.
Anthony berkata, kejadian banjir di lebuh raya bukan sahaja menjejaskan keselesaan pengguna, malah turut membawa risiko keselamatan yang serius.


