PROFESOR Diraja yang juga tokoh pemikir peradaban Islam kontemporari, Syed Muhammad Naquib Al-Attas meninggal dunia di Shah Alam petang ini.
Perkembangan itu dikongsikan pendakwah bebas, Syed Abdul Kadir Aljoofre yang memaklumkan jenazah Allahyarham akan disolatkan di Masjid al-Taqwa TTDI pagi esok sebelum dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Bukit Kiara.
Beliau berkata, semoga Allah SWT mengampuni segala dosa Allahyarham serta menerima segala amalan dan jasa baktinya kepada ummah.
Pada Oktober 2024, Allahyarham dikurniakan gelaran Profesor Diraja atas sumbangannya terhadap negara dalam bidang pendidikan Islam oleh Yang di-Pertuan Agong, Sultan Ibrahim.
Gelaran Profesor Diraja adalah anugerah tertinggi yang dikurniakan kepada seseorang profesor oleh Yang di-Pertuan Agong kepada ahli akademik yang memberi sumbangan besar kepada masyarakat dan kemajuan negara.
Sebelum ini, satu-satunya tokoh yang pernah menerima gelaran berkenaan ialah Ungku Abdul Aziz Ungku Abdul Hamid pada 1978.
Allahyarham yang dilahirkan pada 1931 di Bogor, Jawa Barat, Indonesia turut mengasaskan Institut Antarabangsa Pemikiran dan Tamadun Islam (ISTAC) serta memperkenalkan gagasan Islamisasi ilmu yang mempengaruhi pelbagai cabang ilmu termasuk falsafah, teologi dan pendidikan.
Sepanjang kerjaya ilmiahnya, beliau menghasilkan lebih 30 buku dan monograf yang menjadi rujukan penting dalam kajian peradaban dan falsafah Islam.


