Bekalan Aidilfitri mencukupi, tidak perlu pembelian panik – KPDN

KEMENTERIAN Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) memberi jaminan bekalan barangan keperluan menjelang Aidilfitri mencukupi meskipun dunia kini berdepan ketidaktentuan susulan konflik di Asia Barat.

Menterinya, Datuk Armizan Mohd Ali berkata, orang ramai tidak perlu melakukan pembelian panik kerana kerajaan telah membuat pemantauan awal bersama agensi berkaitan serta pemain industri.

Menurut beliau, Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim telah mengarahkan setiap kementerian mengambil tindakan berdasarkan bidang kuasa masing-masing serta menyediakan unjuran dan pelan kontigensi.

“Perdana Menteri telah memberikan arahan dalam mesyuarat Jemaah Menteri pada Rabu minggu lepas agar setiap kementerian bertindak berdasarkan bidang kuasa masing-masing.

“Pertama, melaksanakan pemantauan segera. Kedua, menyediakan unjuran dalam jangka masa segera, sederhana dan panjang,” katanya dalam sidang media sempena pelaksanaan Skim Harga Maksimum Musim Perayaan (SHMMP) di Ampang hari ini.

Armizan dalam pada itu menegaskan, KPDN akan terus memantau bekalan di pasaran bagi memastikan tiada gangguan sepanjang musim perayaan.

“Jangan khuatir dan tidak perlu ada pembelian panik untuk perayaan ini. Bekalan dalam negara adalah mencukupi. Kita telah membuat persiapan awal bersama Kementerian Pertanian dan Keterjaminan Makanan serta pemborong, pengeluar dan peruncit,” katanya lagi.

Beliau menambah, bekalan yang disediakan bukan sahaja bagi menampung keperluan pada hari pertama Aidilfitri, malah mengambil kira tempoh sambutan yang lazimnya berlanjutan sehingga sebulan melalui penganjuran rumah terbuka.

Sementara itu, Armizan memberitahu, sebanyak 27 jenis barangan dimasukkan dalam senarai SHMMP sempena Aidilfitri selama 15 hari bermula Sabtu ini hingga 28 Mac, berbanding 26 pada pelaksanaan SHMMP tahun lalu.

Beliau berkata, tempoh pelaksanaan skim itu selama tujuh hari sebelum perayaan, satu hari semasa perayaan dan tujuh hari selepas perayaan.

“Tahun ini terdapat satu barangan tambahan berbanding tahun lalu iaitu kacang dal (Australia),” katanya selain memberitahu, bagi Semenanjung harga maksimum bagi 13 jenis barangan menunjukkan penurunan berbanding tahun lalu.

Antara barangan mencatat penurunan adalah daging kerbau import (India), sawi hijau, lobak merah (China), bawang kuning besar, bawang merah besar, bawang merah kecil India, bawang putih (China), ubi kentang (China), halia tua import, cili kering keriting, kelapa biji, kelapa parut dan santan kelapa.

Katanya, harga maksimum bagi sembilan barangan lain pula kekal berbanding SHMMP 2025.

Barangan tersebut adalah daging lembu tempatan, ikan aya atau tongkol, ikan kembung atau mabung, ikan selayang, kubis bulat import, timun, tomato, kacang panjang dan kacang tanah.

“Bagaimanapun, satu barangan mencatatkan kenaikan harga maksimum berbanding tahun lalu iaitu cili merah,” katanya.

 

 

IKUTI SALURAN MEDIA SOSIAL RASMI KAMI

FB : Utusan Melayu Plus
IG: Utusan Melayu Plus
TikTok: @utusanmelayuplusofficial
Threads: @utusanmelayuplus
Whatapps Channel: Utusan Melayu Plus

Terkini

Related articles

Leave a reply

Please enter your comment!
Please enter your name here

spot_img