MARTABAK tiga keping RM10 yang dijual seorang peniaga di Bazar Ramadan Bandar Tun Razak mendapat perhatian apabila harga yang ditawarkan jauh lebih murah berbanding kebiasaan.
Peniaga martabak, Bahari Rasip berkata, harga tersebut diperkenalkan sejak kira-kira tiga tahun lalu selepas pandemik Covid-19 bagi menarik lebih ramai pelanggan ke gerainya di kawasan yang dikenali sebagai Kampung Conggo.
“Kalau cuaca baik dan tak hujan, saya boleh jual sekitar 300 keping martabak sehari. Harga saya jual ini murah sahaja, ada di Kampung Conggo saja. Tempat lain susah nak jumpa,” katanya ketika ditemui utusanmelayuplus di bazar berkenaan.
Menurutnya, strategi menjual pada harga lebih rendah itu mampu meningkatkan jumlah jualan harian sekali gus memberi keuntungan melalui kuantiti.
“Kalau jual harga murah sikit, kuantiti boleh pergi jauh. Bila kuantiti banyak, di situ ada untung,” katanya.
Bahari yang sudah hampir 40 tahun berniaga sejak sekitar 1986 berkata, pengalaman lama membantunya memahami corak pelanggan terutama sepanjang Ramadan.
“Harga martabak yang dijual sebelum ini pernah serendah RM1 sekeping sebelum berubah mengikut kos bahan mentah semasa.
“Peniaga perlu bijak mengurus harga supaya makanan masih mampu dibeli pelanggan selain memastikan jualan habis setiap hari. Kalau dia (peniaga) jual tak habis macam mana nak untung? Dia (peniaga) mesti nak jual habis, baru ada untung,” ujarnya.


