“SIASATAN awal mendapati mangsa dipaksa menjadi ‘scammer’, dikawal ketat, selain tidak dibenarkan keluar dari premis rumah yang dijadikan pusat panggilan penipuan. Sindiket turut mengenakan hutang terhadap mangsa, merampas pasport serta memaksa mereka bekerja lebih masa tanpa kerelaan.’’
Kata Ketua Polis Melaka, Datuk Dzulkhairi Mukhtar dalam kenyataan bagi memaklumkan kejayaan menyelamatkan 14 mangsa dan menahan tujuh individu yang dipercayai terlibat dalam kegiatan pemerdagangan manusia bagi tujuan eksploitasi buruh paksa dalam dua serbuan berasingan, awal pagi tadi.
Beliau berkata, serbuan menerusi Op Pintas Bahagian D3 Antipemerdagangan Orang dan Penyeludupan Migran (ATIPSOM), Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Bukit Aman itu hasil maklumat serta risikan di Taman Klebang Besar dan di Jalan Tengkera, bermula kira-kira pukul 1 pagi.
Beliau berkata, mangsa terdiri daripada tujuh lelaki dan enam wanita warga Filipina serta seorang wanita Myanmar berusia 25 hingga 36 tahun.
Katanya, kesemua mangsa pada awalnya dijanjikan pekerjaan sebagai khidmat pelanggan, namun sebaik tiba di negara ini mereka dipaksa menyertai sindiket penipuan.
Beliau berkata, tujuh suspek yang ditahan terdiri daripada lima wanita dan dua lelaki warga Taiwan, China, Myanmar, Filipina serta Indonesia berusia 19 hingga 38 tahun.
“Lima suspek termasuk wanita Taiwan berusia 31 tahun yang bertindak sebagai pengurus sindiket dan pembantunya, lelaki China berusia 28 tahun ditahan di lokasi pertama, manakala dua lagi suspek lelaki Myanmar dan wanita Indonesia ditahan di lokasi kedua di Jalan Tengkera,” katanya.
Beliau berkata, kes disiasat mengikut Seksyen 12 Akta ATIPSOM 2007 dan Seksyen 6(1)(c) Akta Imigresen 1959/63.


