SEORANG pesara berusia 61 tahun mengalami kerugian RM337,457 selepas terpedaya dengan penipuan pelaburan tidak wujud baru-baru ini.
Ketua Polis Pahang, Datuk Seri Yahaya Othman berkata, berdasarkan laporan yang dibuat mangsa semalam, wanita itu tertarik dengan iklan satu pelaburan yang dilihat melalui laman media sosial Facebook pada 29 Januari lalu.
Katanya, pelaburan itu kononnya menawarkan pulangan keuntungan yang tinggi iaitu dengan pelaburan serendah RM300 dengan dijanjikan pulangan sehingga RM14,000.
Beliau berkata, mangsa kemudian berhubung dengan suspek melalui aplikasi WhatsApp menggunakan nombor telefon tempatan dan diarahkan untuk membuat beberapa transaksi kewangan.
“Bermula dari 30 Januari hingga 9 Mac lalu, mangsa melakukan sebanyak 38 transaksi pindahan wang kepada 16 akaun bank dengan jumlah keseluruhan RM337,457.
“Sepanjang tempoh itu, segala urusan berkaitan pelaburan termasuk keuntungan hanya dimaklumkan melalui aplikasi WhatsApp tanpa sebarang platform pelaburan yang sah,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Yahaya berkata, mangsa hanya menerima satu bayaran berjumlah RM392.11 sebelum diminta membuat bayaran tambahan sebanyak RM210,500 kononnya sebagai caj pengeluaran keuntungan.
Katanya, mangsa yang mula berasa curiga kemudiannya tampil membuat laporan polis.
“Siasatan mendapati sumber kewangan mangsa daripada wang simpanan serta hasil gadaian barang kemas. Kes disiasat mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan,” katanya.
Dalam kes itu, beliau menasihati orang ramai supaya merujuk dan mendapatkan nasihat awal daripada balai polis berdekatan sebelum membuat sebarang pelaburan untuk mengelakkan diri daripada menjadi mangsa penipuan.
Katanya, masyarakat juga diingatkan supaya membuat semakan nombor akaun yang diterima di pautan https://semakmule.rmp.gov.my/ terlebih dahulu sebelum membuat sebarang transaksi.
“Orang awam yang mengesyaki menjadi mangsa penipuan dinasihatkan segera menghubungi Pusat Respons Scam Kebangsaan (NSRC) di talian 997,” katanya.


