SEORANG penunggang motosikal maut selepas dirempuh sebuah kenderaan dipandu lelaki positif dadah dan alkohol di Jalan Raya Barat di Klang pagi tadi.
Ketua Polis Daerah Klang Selatan, Asisten Komisioner Lim Jit Huey berkata, kejadian berlaku kira-kira jam 11.40 pagi ketika mangsa dalam perjalanan dari arah Jalan Raya Barat menghala ke Bandar Klang.

“Setibanya di lokasi, pemandu kereta itu dipercayai telah memotong beberapa kenderaan di hadapan sebelum memasuki laluan bertentangan.
“Akibat pelanggaran, mangsa seorang lelaki tempatan berusia lingkungan 30-an telah tercampak ke atas sebuah kenderaan lain, sebelum disahkan meninggal dunia,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Menurut Jit Huey, hasil pemeriksaan air kencing mendapati pemandu kenderaan terbabit positif dadah dan alkohol.
“Suspek telah ditahan bagi membantu siasatan. Kes ini disiasat dibawah Seksyen 44(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987. Jika sabit kesalahan boleh dikenakan hukuman penjara sehingga 15 tahun dan denda hingga RM100,000 serta lesen memandu digantung serta merta,” jelasnya.
Kes ini turut disiasat di bawah Seksyen 15(1)(a) Akta Dadah Berbahaya 1952, yang membawa hukuman denda tidak lebih RM5,000 atau penjara sehingga dua tahun.
Dalam pada itu, polis meminta orang ramai yang mempunyai maklumat berkaitan kejadian untuk tampil membantu siasatan.
Terdahulu, kemalangan maut itu tular dalam media sosial yang memaparkan kenderaan dipandu suspek meluru memotong di garisan berkembar sebelum merempuh mangsa hingga menyebabkannya tercampak ke atas sebuah lagi kenderaan di lokasi kejadian.


