PEMANDU lelaki yang direman berhubung kes memandu dipercayai dalam keadaan mabuk dan di bawah pengaruh dadah hingga menyebabkan kematian seorang penunggang motosikal di Jalan Raya Barat, Klang akan didakwa di mahkamah, esok.
Ketua Polis Daerah Klang Selatan, Asisten Komisioner Lim Jit Huey mengesahkan perkara ini dalam satu pesanan ringkas kepada media malam ini.
Remaja itu dijangka dibawa ke Mahkamah Majistret Klang pada jam 8.30 pagi untuk menghadapi pertuduhan berkaitan kejadian tersebut.
Suspek yang diuji positif alkohol dan dadah kini ditahan di bawah Seksyen 44(1) Akta Pengangkutan Jalan kerana memandu di bawah pengaruh alkohol.
Kesalahan itu membawa hukuman penjara maksimum 15 tahun, denda sehingga RM100,000, dan hilang kelayakan memandu sekurang-kurangnya 10 tahun.
Dalam kejadian jam 11.40 pagi Ahad lalu, seorang penunggang motosikal, Amirul Hafiz Omar, 33, meninggal dunia di tempat kejadian selepas dirempuh kereta dipandu suspek, yang didakwa dipandu laju ke arah bandar Klang.
Pemandu itu dipercayai memotong beberapa kenderaan sebelum memasuki lorong bertentangan dan melanggar motosikal ditunggang mangsa.
Perlanggaran itu menyebabkan mangsa melambung dan tercampak ke atas sebuah Perodua Myvi serta disahkan meninggal dunia di tempat kejadian.
Amirul Hafiz yang bekerja di sebuah gudang pada sebelah siang, dikatakan melakukan kerja tambahan dengan menjadi penghantar barang pada waktu malam.
Allahyarham dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Kampung Repoh di Batu Kurau, Perak meninggalkan isteri, Nor Nadia Abdul Majid, 32, serta tiga anak, Muhammad Aqif Amsyar, 9; Muhammad Afif Izz Rayqal, 7; dan Nur Humaira, 2.


