Isu pegangan saham Azam Baki akan didedahkan selepas siasatan selesai

HASIL siasatan berhubung isu pemilikan saham Ketua Pesuruhjaya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Tan Sri Azam Baki, akan diumumkan kepada umum selepas semua proses siasatan berkaitan selesai sepenuhnya.

Menteri Komunikasi merangkap jurucakap Kerajaan Perpaduan, Datuk Fahmi Fadzil, menegaskan komitmen Jemaah Menteri, khususnya daripada Perdana Menteri Anwar Ibrahim, untuk memastikan ketelusan dalam perkara berkenaan.

Beliau berkata, kerajaan berpegang kepada komitmen bahawa pendedahan akan dibuat sebaik sahaja kedua-dua aspek siasatan selesai.

“Komitmen daripada Jemaah Menteri, khususnya Perdana Menteri, adalah apabila kedua-dua aspek siasatan selesai, ia akan diumumkan. Buat masa ini, kita serahkan kepada Ketua Setiausaha Negara, Tan Sri Shamsul Azri Abu Bakar,” katanya.

Beliau berkata demikian dalam sidang media mingguan di Auditorium Seri Angkasa, Angkasapuri Kota Media, Kuala Lumpur hari ini.

Menurut Fahmi, perkara itu kini di bawah perhatian Shamsul Azri memandangkan masih terdapat prosedur yang perlu dipatuhi sebelum sebarang keputusan diumumkan.

Beliau menjelaskan, kelewatan dalam mendedahkan hasil siasatan adalah disebabkan beberapa siasatan yang sedang berjalan secara serentak.

”Ia termasuk dakwaan yang dibangkitkan oleh media antarabangsa berkaitan kemungkinan wujud kaitan dengan manipulasi korporat.

“Siasatan turut melibatkan aspek di bawah Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram, Pencegahan Pembiayaan Keganasan dan Hasil daripada Aktiviti Haram (AMLA) yang masih dalam proses penelitian.

“Justeru, kita perlu memastikan siasatan ini diselesaikan sepenuhnya sebelum sebarang tindakan lanjut atau pendedahan dibuat berhubung isu pegangan saham tersebut,” katanya.

Tambah Fahmi, pendedahan laporan itu bergantung kepada pertimbangan kepimpinan tertinggi negara.

“Pada bila-bila masa yang dirasakan siasatan mencukupi, ia terpulang kepada Perdana Menteri dan Jemaah Menteri untuk membuat keputusan,” jelasnya.

Sebelum ini, Ketua Unit Siasatan AMLA Bukit Aman, Fazlisyam Abd Majid, memaklumkan ahli perniagaan kontroversi, Victor Chin, merupakan antara 10 individu yang ditahan pada Disember lalu sebelum dibebaskan dengan jaminan polis, namun boleh dipanggil semula bagi membantu siasatan jika perlu.

IKUTI SALURAN MEDIA SOSIAL RASMI KAMI

FB : Utusan Melayu Plus
IG: Utusan Melayu Plus
TikTok: @utusanmelayuplusofficial
Threads: @utusanmelayuplus
Whatapps Channel: Utusan Melayu Plus

Terkini

Related articles

Leave a reply

Please enter your comment!
Please enter your name here

spot_img