KEMENTERIAN Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) merekodkan 896 kes tindakan penguatkuasaan sepanjang pelaksanaan Skim Harga Maksimum Musim Perayaan (SHMMP) Hari Raya Aidilfitri 2026.
Ketua Pengarah Penguat Kuasa Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN), Datuk Azman Adam berkata, jumlah kompaun yang dikenakan mencecah RM99,800, manakala nilai sitaan direkodkan sebanyak RM32,015.70 hasil pemeriksaan yang dijalankan di seluruh negara.
“Daripada jumlah tersebut, kesalahan utama melibatkan kegagalan mempamerkan tanda harga merah jambu mencatatkan sebanyak 892 kes.
“Selain itu, hanya dua kes direkodkan bagi kesalahan tiada tanda harga, manakala dua kes lagi melibatkan kesalahan menjual melebihi harga maksimum,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Sepanjang tempoh pelaksanaan skim bermula 14 hingga 28 Mac lalu, KPDN telah menjalankan sebanyak 13,194 pemeriksaan di pelbagai peringkat rantaian bekalan termasuk pengeluar, pemborong dan peruncit.
Beliau berkata, meskipun terdapat peningkatan tindakan kes, majoriti peniaga di seluruh negara tetap menunjukkan tahap kerjasama yang tinggi dan mematuhi harga maksimum bagi 27 jenis barangan terkawal yang diwartakan.
“Susulan peperangan di Timur Tengah yang memberi kesan kepada harga minyak dunia, gangguan laluan perdagangan antarabangsa serta peningkatan kos logistik dan import makanan, keadaan ini telah memberi tekanan kepada kos pengeluaran dan pengedaran barangan keperluan.
“Namun, melalui pelaksanaan SHMMP, rakyat masih dapat membeli barangan keperluan pada harga berpatutan di samping memastikan bekalan mudah diperoleh,” katanya.
Beliau berkata, secara keseluruhan, SHMMP Hari Raya Aidilfitri 2026 berjalan lancar dan mencapai objektif hasil pemantauan kementerian serta maklum balas positif daripada orang ramai.
Katanya, KPDN akan terus memantau kedudukan bekalan dan harga barangan keperluan bagi memastikan pengguna tidak dimanipulasi dengan harga yang tidak munasabah.


