Kantoi guna alasan demam, duda dicekup berkhalwat

ALASAN sakit dan mahu berehat di bilik hotel tidak membantu seorang duda warga Singapura apabila ditahan berkhalwat bersama seorang wanita yang bukan isterinya dalam operasi oleh Jabatan Agama Islam Negeri Johor (JAINJ), semalam.

Dalam kenyataan, JAINJ memaklumkan penahanan dibuat kira-kira jam 4 petang selepas pemeriksaan dilakukan di sebuah bilik hotel di daerah ini.

Menurutnya, pintu bilik dibuka lima minit selepas diketuk oleh seorang lelaki berpakaian lengkap, sebelum penguat kuasa menjalankan pemeriksaan lanjut.

“Ketika pemeriksaan, pintu tandas didapati tertutup dan selepas diketuk, seorang wanita keluar dari dalam. Hasil soal siasat mendapati mereka tiada hubungan mahram dan bukan suami isteri,” katanya.

Menurut JAINJ, pasangan berusia lingkungan 30-an itu didapati berdua-duaan di dalam bilik hotel kira-kira satu jam sebelum serbuan dilakukan.

Lelaki terbabit yang bekerja di Singapura mendakwa datang bercuti dan sakit, manakala wanita berstatus isteri orang pula terus ke hotel selepas tamat kerja.

JAINJ berkata, alasan tersebut tidak munasabah kerana bilik hotel bukan tempat rawatan, sebaliknya mereka berada di situ tanpa ikatan sah.

“Siasatan lanjut mendapati pasangan itu sudah berkenalan kira-kira setahun dan hubungan tersebut dirahsiakan daripada suami wanita berkenaan.

“Kedua-duanya ditahan mengikut Seksyen 27 Enakmen Kesalahan Jenayah Syariah (Negeri Johor) 1997 kerana berkhalwat,” katanya.

IKUTI SALURAN MEDIA SOSIAL RASMI KAMI

FB : Utusan Melayu Plus
IG: Utusan Melayu Plus
TikTok: @utusanmelayuplusofficial
Threads: @utusanmelayuplus
Whatapps Channel: Utusan Melayu Plus

Terkini

Related articles

Leave a reply

Please enter your comment!
Please enter your name here

spot_img