SEORANG guru sekolah swasta maut dalam nahas membabitkan sebuah treler dan dua motosikal di Kilometer 21.7 Lebuhraya SILK arah Semenyih, Kajang, petang semalam.
Dalam kejadian kira-kira pukul 6.30 petang itu, mangsa lelaki tempatan berusia 25 tahun disahkan meninggal dunia di lokasi akibat kecederaan parah pada beberapa bahagian badan.
Ketua Polis Daerah Kajang, Asisten Komisioner Naazron Abdul Yusof berkata, siasatan awal mendapati kemalangan berlaku apabila motosikal ditunggang mangsa melanggar bahagian belakang sebuah lagi motosikal dari arah belakang.
Menurut beliau, pelanggaran itu menyebabkan mangsa hilang kawalan sebelum tercampak ke arah sebuah treler yang sedang bergerak di laluan sama.
“Pemandu treler dipercayai tidak menyedari kejadian tersebut lalu terlanggar mangsa serta motosikalnya.
“Akibat kejadian, mangsa disahkan meninggal dunia di tempat kejadian akibat kecederaan pelbagai,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Beliau berkata, penunggang dan pembonceng motosikal satu lagi serta pemandu treler berusia antara 36 hingga 43 tahun tidak mengalami sebarang kecederaan.
Menurutnya, kes disiasat di bawah Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.
“Orang ramai yang mempunyai maklumat berkaitan kejadian diminta menghubungi pegawai penyiasat, Inspektor Nur Faezah Mohd Zakria di talian 012-3268496 bagi membantu siasatan,” katanya.


