SEBANYAK 32 lelaki didenda RM3,000 setiap seorang atau penjara empat bulan selepas mengaku bersalah di Mahkamah Majistret Kuala Lumpur hari ini atas pertuduhan menyertai rusuhan di sebuah pusat hiburan di Cheras yang videonya tular pada minggu lalu.
Majistret Faezahnoor Hassan turut mengenakan hukuman denda RM2,000 atau penjara tiga bulan terhadap dua lagi tertuduh yang berusia 19 tahun kerana melakukan kesalahan yang sama.

Kesemua 32 lelaki itu terdiri daripada Tan Chee Chin, G Bathmanathan, MK Kogilan, Lim Puay Fei, Kevin Yong Kai Wen, Ong Zhi Jian, Looi Khai Xuan, Voison Chor, Tan Jun Ning, Hee Tuck Choy, Ching Thong Hai, Kee Jin Xuan, Lim Teong Yow, Chan Kuang Man dan Ho Chee Seong.
Selain itu, Wong Chee Siong, Liang Chung Weng, G Srikanth, A Ganesan, Lee Ming Choong, Wong Wai Khuen, Khor Ka Lok, Ong Zheng Yuan, Yam Hao Jie, Lim Jia Cheng, Chai Chun You, Kher Kuan Heng, Ong Aik Chim, Chong Khai Jun, Hadzrin Julasrin, Lee Tuck Wah dan Chin Chin Chung.
Berdasarkan pertuduhan, kesemua 34 lelaki itu berusia antara 19 dan 57 tahun termasuk seorang berkerusi roda didakwa menyertai rusuhan dan memiliki senjata api, amunisi dan bahan letupan yang boleh mencederakan serta senjata seperti kayu, batu atau bahan yang boleh digunakan untuk melakukan serangan.
Mereka antaranya yang bekerja sebagai penghantar makanan, pembantu restoran dan peniaga secara dalam talian didakwa melakukan perbuatan itu kira-kira jam 7.30 malam, 5 April lalu di sebuah pusat hiburan karaoke di Cheras, Kuala Lumpur.
Mereka didakwa mengikut Seksyen 148 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum lima tahun atau denda atau kedua-duanya sekali.
Pada prosiding itu, peguam Mohammad Arifin Abdul Wahab memohon denda minimum atas alasan anak guamnya menyesal terhadap perbuatan tersebut dan memohon maaf selain berjanji akan mematuhi undang-undang.
Menurut peguam, anak guamnya memberi kerjasama ketika ditangkap polis dan telah direman selama empat hari bagi membantu siasatan.
Sementara itu, Timbalan Pendakwa Raya Nur Farhana Mohamad Poad memohon hukuman setimpal kerana kes tersebut melibatkan sejumlah tertuduh yang ramai selain menimbulkan kekecohan dan kegentaran awam.
Mengikut fakta kes, polis menerima laporan berhubung kes pergaduhan menggunakan lori dan melanggar pintu pagar di pusat hiburan tersebut pada 5 April lalu.
Fakta kes menyebut, sekumpulan lelaki tersebut bertindak melakukan khianat dengan memecahkan barang di kawasan tersebut manakala siasatan polis mendapati, suspek menggunakan senjata untuk melakukan serangan.
Sebelum ini, Ketua Polis Kuala Lumpur, Datuk Fadil Marsus dilaporkan berkata, seramai 45 individu termasuk dua pelajar sekolah berusia 14 tahun ditahan berhubung serangan di sebuah pusat hiburan di Taman Shamelin, Ahad lalu yang dipercayai bermotifkan dendam peribadi antara pemilik kelab dan pesaing perniagaan.
Rakaman mengenai kejadian ceroboh dan rusuhan itu juga tular yang dipercayai dilakukan oleh lebih 60 individu memakai topeng penutup muka.


