SEORANG lelaki warga China direman sehingga 24 April depan bagi membantu siasatan kes cabul seorang wanita di kaki lima kawasan Stesen MRT Kuchai Lama, Kuala Lumpur kelmarin.
Ketua Polis Daerah Brickfields, Asisten Komisioner Hoo Chang Hook berkata, pihaknya menerima laporan berhubung kejadian itu pada jam 9.22 malam.
“Mangsa merupakan seorang wanita tempatan berusia 22 tahun yang bekerja sebagai terapis kecantikan di Sunway Velocity.
“Dalam kejadian tersebut, mangsa mendakwa telah dihampiri dari arah belakang oleh seorang lelaki tidak dikenali sebelum suspek bertindak memeluknya,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Menurut Chang Hook, siasatan awal mendapati mangsa telah diekori suspek ketika berjalan menuju ke tandas di kawasan stesen pengangkutan awam berkenaan.
“Hasil tindakan pantas, suspek berjaya ditahan pada hari sama kira-kira jam 8.10 malam,” katanya.
Menurutnya, suspek merupakan lelaki warga China berusia 20 tahun yang tidak mempunyai pekerjaan.
“Suspek direman sehingga 24 April bagi membantu siasatan dan kes ini disiasat mengikut Seksyen 354 Kanun Keseksaan kerana mencabul serta Seksyen 6(1) Akta Imigresen 1959/63 kerana tidak memiliki dokumen perjalanan yang sah,” katanya.
Tambah beliau, siasatan dijalankan oleh pegawai dari Bahagian Siasatan Jenayah Seksual, Wanita dan Kanak-Kanak (D11) Ibu Pejabat Polis Kontinjen Kuala Lumpur serta Ibu Pejabat Polis Daerah Brickfields.


