Malaysia utamakan keperluan bahan api domestik sebelum bekal kepada Australia – PM

MALAYSIA akan memberi keutamaan kepada keperluan bahan api domestik sebelum membekalkan sebarang lebihan kepada Australia, kata Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Perdana Menteri berkata, kerajaan telah mendapat jaminan daripada Petroliam Nasional Bhd (Petronas) bahawa bekalan berkenaan mencukupi untuk penggunaan dalam negara manakala sebarang lebihan akan disalurkan kepada rakan yang boleh dipercayai seperti Australia.

“Keutamaan, sudah tentunya ialah memenuhi keperluan domestik serta memperkukuh daya tahan ekonomi negara,” katanya pada sidang media bersama rakan sejawatnya, Anthony Albanese, di Putrajaya hari ini.

Anwar yang juga Menteri Kewangan berkata, pengaturan sedemikian mencerminkan betapa pentingnya rundingan dan persefahaman bersama antara negara rakan, khususnya apabila kedua-dua negara saling bergantung antara satu sama lain untuk sumber strategik.

Menurut beliau, Malaysia mengimport gas termasuk gas asli cecair (LNG) dari Australia, yang telah mengulangi komitmennya untuk mematuhi perjanjian bekalan sedia ada manakala Malaysia pula akan memastikan keperluan Australa dipenuhi setelah keperluan dalam negara terlebih dahulu.

“Itulah erti persahabatan,” kata beliau sambil menyifatkan kerjasama berkenaan sebagai perkongsian seimbang yang berasaskan kepercayaan serta komitmen bersama.

Anwar turut menekankan Malaysia akan terus memperkukuh hubungan dengan pelbagai rakan antarabangsa, di samping memastikan kepentingan negara dan kesejahteraan rakyat sentiasa menjadi keutamaan kerajaan.

Beliau berkata, negara ini mengekalkan hubungan ekonomi yang pelbagai dengan pemain utama global, sambil menegaskan Amerika Syarikat kekal sebagai sumber terbesar perdagangan dan pelaburan Malaysia, meskipun Kuala Lumpur terus menjalin hubungan dua hala yang konstruktif dengan negara lain termasuk Russia.

“Kami sebagai sebuah negara telah menjalin hubungan dengan lebih banyak negara. Perdagangan dan pelaburan terbesar masih dari Amerika Syarikat walaupun kami mempunyai hubungan dua hala yang baik dengan Russia serta turut menjalankan perdagangan dengan negara itu,” kata beliau.

Anwar berkata, dalam persekitaran global yang semakin kompleks, Malaysia perlu mengurus hubungan antarabangsanya dengan berhati-hati bagi memastikan kestabilan ekonomi serta melindungi kepentingan negara.

“Keutamaan saya, mandat yang saya pegang, adalah untuk melindungi kepentingan rakyat di negara ini,” kata beliau.

 

IKUTI SALURAN MEDIA SOSIAL RASMI KAMI

FB : Utusan Melayu Plus
IG: Utusan Melayu Plus
TikTok: @utusanmelayuplusofficial
Threads: @utusanmelayuplus
Whatapps Channel: Utusan Melayu Plus

Terkini

Related articles

Leave a reply

Please enter your comment!
Please enter your name here

spot_img