PERDANA Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim menafikan dakwaan kononnya Malaysia menjual minyak kepada Australia, sebaliknya menegaskan keutamaan diberikan kepada keperluan rakyat.
Beliau berkata, perbincangan dengan Perdana Menteri Australia, Anthony Albanese hanya melibatkan keperluan dagangan dua hala antara kedua-dua negara.
“Sebenarnya kita tak jual minyak… kita perlu fosfat daripada dia (Australia), dia perlu urea daripada kita (Malaysia),” ketika ditemui pemberita selepas menunaikan solat Jumaat di Surau Bomba Cyberjaya, hari ini.
Menurutnya, Australia turut memerlukan diesel, namun Malaysia tidak berupaya membekalkannya ketika ini kerana perlu memberi keutamaan kepada keperluan domestik.
“Ada minyak.. boleh pertimbang sekiranya ada lebihan, sekarang ini belum,” katanya.
Dalam perkembangan sama, Anwar memaklumkan situasi semasa di Selat Hormuz turut dipantau rapi susulan cabaran penghantaran, termasuk sebuah kapal yang dilaporkan mengalami kerosakan.
Beliau turut menerima jemputan daripada Presiden Perancis, Emmanuel Macron bersama Perdana Menteri Britain, Keir Starmer untuk menyertai perbincangan khas mengenai keselamatan laluan Teluk Hormuz.
Tegasnya, Malaysia kekal dengan pendirian bebas dan adil dengan menyokong kebebasan laluan antarabangsa, di samping mengambil kira sensitiviti geopolitik melibatkan Iran serta kuasa besar dunia.


