KEMENTERIAN Kerja Raya (KKR) sedang melaksanakan sebanyak 224 projek pembinaan fizikal bernilai RM9.55 bilion di seluruh Pahang tahun ini bagi memberi impak pembangunannya kepada rakyat.
Menteri Kerja Raya, Datuk Seri Alexander Nanta Linggi, daripada jumlah itu, sebanyak 123 projek melibatkan fasa prapembinaan dengan nilai RM3.87 bilion manakala 101 projek lagi berada di peringkat dalam pembinaan dengan nilai RM5.68 bilion.

“KKR akan terus memperkukuh kerjasama dengan kerajaan negeri Pahang supaya pelaksanaan projek dapat dipercepat, isu berbangkit dapat diselesaikan dengan lebih berkesan, dan manfaat pembangunan benar-benar sampai kepada rakyat,” katanya menerusi hantaran di Facebook hari ini.
Terdahulu, beliau menerima kunjungan hormat Menteri Besar Pahang, Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail bersama delegasi bagi membincangkan pembangunan di negeri itu, di KKR di ibu negara hari ini.
Pertemuan itu turut memberi ruang kepada kedua-dua pihak meneliti pelaksanaan projek berteraskan rakyat khususnya yang melibatkan infrastruktur asas, kemudahan awam dan kesejahteraan masyarakat di Pahang.
Nanta Linggi berkata, KKR kekal komited memastikan setiap projek dilaksanakan secara terancang, dipantau rapi dan disiapkan mengikut keutamaan demi manfaat kepada rakyat di Pahang.


