DATUK Seri Anwar Ibrahim hari ini menerima kehadiran Setiausaha Umum Liga Arab Al-Islami (Muslim World League) merangkap Pengerusi Pertubuhan Ulama’ Islam (Muslim’s Scholar Association) Syeikh Dr. Abdul Karim Al-Essa serta delegasi bersempena dengan lawatan kerja Syeikh ke Malaysia selama dua hari.
Perdana Menteri berkata, dalam pertemuan yang singkat dan bermakna itu, mereka membincangkan beberapa isu hubungan antarabangsa serta hubung kait dengan pembelaan masyarakat Islam di seluruh benua yang menghadapi tekanan peperangan dan kezaliman.
‘’Fadhilatus Syeikh juga menegaskan persediaan Muslim World League dalam penganjuran Muktamar Agamawan dan Cendekiawan Pelbagai Agama Seluruh Dunia (International Conference of Religious Leaders) yang akan diadakan pada 12 Jun nanti di Kuala Lumpur,’’ katanya melalui Facebook beliau. di ibu negara.
Anwar mendoakan agar segala usaha murni dan kerja amal MWL terhadap agama Islam serta masyarakat Muslim dan dunia ini diberkati Allah dan mendapat kejayaan.

Hari ini juga Anwar menerima kunjungan hormat daripada Presiden Jawatankuasa Olimpik Qatar merangkap Presiden Majlis Olimpik Asia (OCA), Putera Sheikh Joaan bin Hamad Al Thani, bersama delegasi, serta kehadiran wakil Majlis Olimpik Malaysia.
Perdana Menteri berkata, tumpuan perbincangan menjurus kepada usaha dan inisiatif Majlis Olimpik Malaysia dalam memperkukuh Gerakan Olimpik di negara ini agar terus selari dengan kerangka kerjasama strategik bersama Majlis Olimpik Asia.
‘’Dalam konteks perancangan jangka panjang, perbincangan turut menyentuh penganjuran Sukan Pantai, Sukan Belia dan Sukan Asia bagi tahun 2029.
‘’Insya-Allah segala persiapan dan hala tuju akan dirangka secara kolektif bersama negara-negara anggota di bawah naungan Majlis Olimpik Asia bagi memastikan penganjuran temasya sukan berprestij ini dapat dilaksanakan dengan jayanya oleh negara tuan rumah kelak,’’ katanya.


