JKM nafi dakwaan penempatan kanak-kanak, tiada kes rasmi pada 2020

JABATAN Kebajikan Masyarakat (JKM) menafikan dakwaan tular di media sosial yang mengaitkan jabatan itu dengan permohonan bantuan penempatan kanak-kanak kepada individu tertentu.

Dalam kenyataan hari ini, JKM menegaskan dakwaan tersebut adalah tidak tepat dan boleh menimbulkan kekeliruan terhadap fungsi serta prosedur penempatan kanak-kanak mengikut peruntukan undang-undang.

Menurut JKM, semakan rekod mendapati tiada penempatan rasmi kanak-kanak dilakukan oleh pihaknya kepada individu berkenaan pada tahun 2020 seperti didakwa.

“Penjagaan kanak-kanak itu adalah hasil pengaturan persendirian antara ibu kandung dan individu terbabit tanpa penglibatan JKM,” menurut kenyataan itu.

JKM memaklumkan, pihaknya hanya menerima rujukan kes pada 29 April 2022 bagi tujuan khidmat nasihat berkaitan status penjagaan serta dokumentasi.

Susulan itu, siasatan dan penilaian menyeluruh telah dijalankan selaras dengan prinsip kepentingan terbaik kanak-kanak di bawah Akta Kanak-Kanak 2001.

Tambah kenyataan itu, Mahkamah bagi Kanak-Kanak kemudiannya mengeluarkan perintah pada 3 Ogos 2022 di bawah peruntukan akta berkenaan, yang membenarkan penjagaan kanak-kanak oleh individu terbabit sehingga mereka mencapai umur 18 tahun.

Perintah itu dibuat selepas mengambil kira Surat Akuan Bersumpah (SD) persetujuan penyerahan oleh ibu kandung serta persetujuan bersama semua pihak terlibat.

Sehubungan itu, JKM menasihatkan orang ramai agar tidak membuat spekulasi atau kenyataan yang boleh menimbulkan salah faham terhadap peranan jabatan serta kebajikan kanak-kanak.

“JKM komited melaksanakan tanggungjawab berteraskan integriti, profesionalisme dan kedaulatan undang-undang,” menurut kenyataan itu.

IKUTI SALURAN MEDIA SOSIAL RASMI KAMI

FB : Utusan Melayu Plus
IG: Utusan Melayu Plus
TikTok: @utusanmelayuplusofficial
Threads: @utusanmelayuplus
Whatapps Channel: Utusan Melayu Plus

Terkini

Related articles

Leave a reply

Please enter your comment!
Please enter your name here

spot_img