SEORANG pengurus jualan syarikat pembekal barangan kesihatan direman tiga hari bermula semalam kerana disyaki mengemukakan dokumen mengandungi butir matan palsu membabitkan tuntutan pembekalan peralatan pembedahan berjumlah kira-kira RM54,000.
Perintah reman sehingga esok terhadap suspek dikeluarkan Hakim Noor Zaihan Mohamad Ali selepas permohonan dibuat Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) Pahang di Mahkamah Raub, semalam.
Menurut sumber, suspek lelaki berusia lingkungan 40-an itu ditahan jam 8.30 malam kelmarin, ketika hadir memberi keterangan di pejabat SPRM cawangan Raub.
“Siasatan awal mendapati suspek disyaki melakukan perbuatan itu pada 2025.
“Suspek dipercayai mengemukakan dokumen yang mengandungi butir matan palsu kepada Jabatan Kemajuan Orang Asli (Jakoa) daerah Lipis bagi pembekalan peralatan pembedahan,” kata sumber itu hari ini.
Sementara itu, Pengarah SPRM Pahang, Mohd Shukor Mahmud ketika dihubungi mengesahkan penahanan itu dan memberitahu, kes ini disiasat mengikut Seksyen 18 Akta SPRM 2009.


