SEORANG kelindan lori mengaku bersalah di Mahkamah Sesyen Kuala Terengganu, hari ini atas dua pertuduhan iaitu menyebabkan kematian dan mendatangkan kecederaan terhadap seorang kanak-kanak lelaki berusia empat tahun.
Tertuduh, Muhammad Firdaus Zamri, 31, membuat pengakuan itu selepas pertuduhan dibacakan di hadapan Hakim Mohd Zul Zakiqudin Zulkifli.
Berdasarkan pertuduhan pertama, dia didakwa melakukan perbuatan yang menyebabkan kematian Muhammad Adam Danial Abdul Khafidh dengan niat menyebabkan kecederaan yang mungkin membawa maut.
Kesalahan itu didakwa dilakukan di sebuah rumah tanpa nombor di Kampung Banggol Katong di sini kira-kira pukul 6 petang, 11 April lalu.
Bagi kesalahan itu, tertuduh didakwa mengikut Seksyen 304(a) Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga 30 tahun serta boleh dikenakan denda.
Sementara itu, bagi pertuduhan kedua, tertuduh didakwa dengan sengaja mendatangkan kecederaan terhadap mangsa sama menggunakan sebatang rotan di lokasi dan masa yang sama.
Kesalahan tersebut didakwa mengikut Seksyen 324 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman penjara sehingga 10 tahun atau denda atau sebat atau mana-mana dua daripada hukuman berkenaan.
Mahkamah tidak membenarkan tertuduh diikat jamin dan menetapkan 29 April ini sebagai tarikh jatuh hukum.


