DUA pegawai kanan polis ditahan semalam kerana disyaki menerima rasuah daripada sindiket penipuan dalam talian.
Jurucakap Unit Anti-Rasuah (ACU), Soy Chanvichet, mengenal pasti kedua-dua suspek sebagai Leftenan Jeneral Uk Heiseha, Timbalan Ketua Jabatan Imigresen Am, dan Mejar Jeneral Sar Samnang, Timbalan Ketua Polis Perbandaran Phnom Penh yang bertanggungjawab terhadap hal ehwal imigresen.
Kedua-dua mereka merupakan antara empat individu yang ditahan dan dibawa ke Mahkamah Perbandaran Phnom Penh bagi menghadapi pertuduhan rasuah. Dua lagi suspek ialah seorang pegawai imigresen, Yath Kosal, serta isteri kepada Mejar Jeneral Samnang, lapor khmertimes.
Menurut Chanvichet, keempat-empat suspek ditahan kerana dipercayai menerima suapan daripada sindiket penipuan dalam talian sebagai balasan untuk tidak menahan mereka semasa operasi pembanterasan oleh Suruhanjaya Membanteras Penipuan Dalam Talian di Phnom Penh.
Pihak ACU turut merampas sejumlah wang tunai, dokumen serta peralatan yang dipercayai berkaitan aktiviti penipuan susulan penahanan tersebut.
Lt Jen Heiseha dan Mej Jen Samnang didakwa menerima rasuah selain terlibat dalam pengubahan wang haram. Dua lagi suspek pula didakwa sebagai rakan subahat.
Jika sabit kesalahan, mereka berdepan hukuman penjara antara tujuh hingga 15 tahun.


