Najib tarik balik rayuan tahanan rumah

BEKAS Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak, menarik balik rayuan terhadap keputusan Mahkamah Tinggi berhubung permohonan semakan kehakimannya bagi mendapatkan perintah menjalani baki hukuman penjara melalui tahanan rumah.

Najib yang juga bekas Ahli Parlimen Pekan kini menjalani hukuman di Penjara Kajang selepas disabitkan kesalahan penyelewengan dana RM42 juta milik SRC International Sdn Bhd.

Melalui notis bertarikh 2 April lalu oleh firma guaman Tetuan Shafee & Co, pihak pembelaan memaklumkan bahawa Najib selaku perayu menarik balik rayuan tersebut tanpa kebenaran untuk memfailkan semula serta tanpa sebarang perintah berhubung kos.

Tiada alasan dinyatakan berhubung tindakan itu. Pada 14 April lalu, Timbalan Pendaftar Mahkamah Rayuan Malaysia merekodkan bahawa Notis Penghentian yang difailkan adalah teratur dan seterusnya membatalkan notis rayuan berkenaan.

Pada 22 Disember tahun lalu, Hakim Mahkamah Tinggi, Alice Loke Yee Ching menolak permohonan semakan kehakiman Najib untuk memaksa kerajaan dan enam pihak lain melaksanakan Titah Adendum bagi membolehkan beliau menjalani baki hukuman penjara melalui tahanan rumah.

Hakim memutuskan bahawa isu tahanan rumah tidak pernah dibincangkan atau diputuskan dalam mesyuarat Lembaga Pengampunan yang bersidang pada 29 Januari tahun lalu.

Dalam permohonan itu, Najib turut memohon perintah mandamus bagi memindahkan beliau dari Penjara Kajang ke kediamannya untuk menjalani hukuman di bawah tahanan rumah, selain menuntut salinan titah oleh Yang di-Pertuan Agong ke-16 berkaitan pengurangan hukuman.

Najib mula menjalani hukuman penjara sejak 23 Ogos 2022 dan sebelum ini memfailkan petisyen pengampunan diraja pada 2 September tahun sama.

Lembaga Pengampunan kemudiannya mengurangkan hukuman penjara beliau daripada 12 tahun kepada enam tahun, manakala denda dikurangkan daripada RM210 juta kepada RM50 juta.

IKUTI SALURAN MEDIA SOSIAL RASMI KAMI

FB : Utusan Melayu Plus
IG: Utusan Melayu Plus
TikTok: @utusanmelayuplusofficial
Threads: @utusanmelayuplus
Whatapps Channel: Utusan Melayu Plus

Terkini

Related articles

Leave a reply

Please enter your comment!
Please enter your name here

spot_img