KETIKA 14 Ahli Dewan Undang Negeri (ADUN) Barisan Nasional (BN) dilihat teruja selepas menarik sokongan terhadap Datuk Seri Aminuddin Harun dan ketika Perikatan Nasioanal (PN) begitu ghairah untuk berpakat menubuhkan kerajaan negeri, Menteri Besar Negeri Sembilan itu terus tenang.
Pada sidang media khas di kediaman rasmi Menteri Besar di Seremban, Aminudin berkata, beliau akan terus berkhidmat seperti biasa di sebalik tindakan BN itu.
Menurut ADUN Sikamat itu, beliau telah menghadap Yang Dipertuan Besar Tuanku Muhriz Tuanku Munawir dan dititahkan untuk terus mentadbir selagi belum ada “kejelasan muktamad” seperti usul undi tidak percaya dalam DUN.
“Setelah melalui pertimbangan wajar, Tuanku nasihat dan menitahkan agar saya menjalankan tanggungjawab sebagai menteri besar selagi belum ada kejelasan muktamad.
“Kerajaan negeri akan terus berjalan seperti biasa, kepentingan rakyat jadi keutamaan. Itu titah Tuanku, perkara itu masih belas jelas. Kerajaan minoriti boleh jalankan tanggungjawab,” katanya.
Terdahulu, Pengerusi UMNO Negeri Sembilan, Datuk Seri Jalaluddin Alias, mengumumkan UMNO menarik balik sokongan terhadap Aminuddin dan hilang kepercayaan terhadap beliau.
Beliau memberitahu surat rasmi akan dihantar kepada Speaker DUN Negeri Sembilan dan setiausaha kerajaan negeri.
Susulan itu, PN kemudian mengumumkan kesediaan mereka untuk bekerjasama dengan BN bagi membentuk kerajaan. mKelima-lima ADUN PN di Negeri Sembilan mengumumkan perkara itu dalam sidang media di Seremban.
PN mempunyai lima ADUN dalam DUN Negeri Sembilan iaitu tiga daripada Pas (Kamarol Ridzuan Mohd Zain, Paroi; Abdul Fatah Zakaria, Bagan Pinang; dan Mohd Fairuz Mohd Isa, Serting).
Dua lagi mewakili Bersatu iaitu Mohamad Hanifah Abu Baker (Labu) Ridzuan Ahmad (Gemas).
Aminuddin berkata beliau memang terkejut dengan tindakan yang diambil oleh ADUN UMNO itu kerana hubungan mereka sebelum ini tidak bermasalah.
Malah katanya, UMNO sendiri yang meminta supaya persidangan DUN ditangguhkan baru-baru ini.
“Empat exco jumpa saya meminta persidangan ditangguhkan… permintaan daripada BN (UMNO) sendiri dan kita setuju tangguh,” katanya lagi.
Ditanya mengenai kedudukan empat exco dari BN itu, Aminuddin berkata perkara itu akan dibincangkan kemudian.
Beliau menegaskan,krisis ini juga tidak akan membawa kepada pembubaran DUN, namun beliau sedia berdepan dengan undi tidak percaya di DUN.
“Belum ada pandangan tersebut (bubar DUN), bukan mudah dalam situasi sekarang.Patut dia (ADUN Umno) bawa usul undi tidak percaya. Saya terima apa sahaja keputusan.
“Kita akan teruskan pentadbiran kepada rakyat, kita yakin mampu tadbir negeri, sebab yang menarik sokongan adalah mereka,” katanya.


