‘Ibu…adik minta ampun. Adik nak sujud kaki ibu’ – rayu remaja mengaku pukul ibu angkat

“IBU…adik minta ampun. Adik nak sujud kaki ibu,” rayu seorang remaja lelaki berusia 18 tahun sebaik dihadapkan ke Mahkamah Majistret Batu Pahat, hari ini atas tuduhan menumbuk dan menolak ibu angkatnya serta merosakkan harta benda dalam rumah.

Tertuduh yang tidak bersekolah itu mengaku bersalah di hadapan Majistret Arun Noval Dass terhadap dua pertuduhan mengikut Seksyen 323 Kanun Keseksaan yang dibaca bersama Seksyen 326A serta Seksyen 427 kanun sama.

Mengikut pertuduhan pertama, remaja itu didakwa menyebabkan kecederaan terhadap ibu angkatnya berusia 66 tahun dengan menumbuk bahu serta menolak wanita itu hingga terjatuh.

Bagi pertuduhan kedua, dia didakwa melakukan khianat dengan merosakkan pintu, sofa, cermin dinding, kerusi makan dan pasu bunga milik mangsa, menyebabkan kerugian RM5,400.

Kesalahan itu didakwa dilakukan di sebuah rumah di Taman Sri Jaya pada jam 1.30 pagi, 23 April lalu.

Berdasarkan laporan, kejadian berpunca apabila tertuduh meminta wang sebelum ditegur ibu angkatnya agar tidak lagi berhutang, menyebabkan dia berang lalu menyerang mangsa.

Tertuduh turut bertindak membaling dan menendang barangan dalam rumah termasuk memecahkan cermin dinding dengan membaling pengecas telefon.

Mangsa menerima rawatan di Hospital Sultanah Nora Ismail dan disahkan mengalami kecederaan pada bahu serta belakang.

Pendakwaan dikendalikan Inspektor Aizuddin Sulaiman, manakala tertuduh tidak diwakili peguam.

Mahkamah menetapkan 1 Julai ini untuk sebutan laporan akhlak daripada Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM), fakta dan perintah.

Tertuduh dibenarkan diikat jamin RM2,000, namun gagal membayarnya sebelum dihantar ke Pusat Koreksional Muar untuk tahanan sementara.

IKUTI SALURAN MEDIA SOSIAL RASMI KAMI

FB : Utusan Melayu Plus
IG: Utusan Melayu Plus
TikTok: @utusanmelayuplusofficial
Threads: @utusanmelayuplus
Whatapps Channel: Utusan Melayu Plus

Terkini

Related articles

Leave a reply

Please enter your comment!
Please enter your name here

spot_img