KAPAL layar Goleta yang menyertai Global Sumud Flotilla (GSF) 2.0 disahkan karam di perairan Greece selepas disabotaj rejim Zionis.
Ketua Pengarah Sumud Nusantara Command Center (SNCC), Datuk Sani Araby Abdul Alim Araby berkata, selain itu, tiga daripada 21 buah kapal yang ditahan rejim sebelum ini berjaya ditunda setakat ini.
“SNCC mengesahkan bahawa daripada 21 buah kapal yang ditahan secara haram pada 30 April, tiga daripadanya telah berjaya ditunda oleh kapal Open Arms dari Barcelona yang ditemui dalam keadaan sangat teruk.
“Satu kapal iaitu Goleta disahkan karam diyakini sabotaj pihak rejim, manakala 17 kapal lagi masih berada di lautan dan sedang dalam usaha untuk ditunda,” jelasnya.
“Dengan 17 kapal belum ditunda ini, boleh kita katakan bukan senang untuk tunda kapal dirosakkan secara sengaja,” katanya.
Sani Araby berkata demikian dalam sidang media di Sumud Nusantara Command Centre (SNCC) hari ini.
Pada 30 April lalu, kesemua 175 aktivis yang menaiki 21 kapal layar itu ditahan di perairan antarabangsa berdekatan Kepulauan Greece oleh rejim Zionis, sebelum dibebaskan di Pelabuhan Lerapetra di Kepulauan Crete, Greece.


